Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Taikun Ananda Krishnan meninggal dunia
Diterbitkan:  Nov 28, 2024 3:21 PM
Dikemaskini: 8:47 AM

Hartawan dan tokoh perniagaan terkemuka Malaysia, T Ananda Krishnan meninggal dunia hari ini pada usia 86 tahun.

Berita pemergiannya hari ini, disahkan oleh Usaha Tegas Sdn Bhd, firma pegangan pelaburan yang diterajui oleh Ananda, menerusi satu kenyataan hari ini.

"Dengan rasa sedih kami mengumumkan pemergian pengerusi kami, T Ananda Krishnan, yang meninggal dunia secara tenang pada 28 November 2024.

"Mendiang telah membuat sumbangan besar kepada pembinaan negara dan dunia korporat, dan inisiatif dermawannya telah menyentuh banyak kehidupan.

"Kami dengan rendah hati meminta agar hasrat keluarga untuk berkabung secara persendirian dihormati," kata kenyataan itu.

Ananda, dilahirkan pada 1 April, 1938 di Brickfields, di Kuala Lumpur dengan nama penuh Tatparanandam Ananda Krishnan atau T Ananda Krishnan, menjadi antara tokoh perniagaan terkemuka Malaysia dan disenaraikan sebagai satu daripada individu terkaya di negara ini.

Ananda, lulusan Harvard Business School, memulakan Usaha Tegas dan kemudian mengasaskan Maxis Communications dan MEASAT Broadcast Network Systems.

Kepimpinannya telah mendorong Maxis menjadi antara penyedia telekomunikasi terkemuka di Malaysia.

Menurut senarai bilionair terkini Forbes, nilai bersih Ananda adalah AS$5.1 bilion (AS$1=RM4.4325) pada 27 Nov, 2024, meletakkan mendiang sebagai individu ke-667 terkaya di dunia.

Beliau meninggalkan seorang anak lelaki, yang kemudian menjadi sami Buddha, serta dua anak perempuan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS