Mangsa banjir di enam negeri kini mencecah angka 47, 365 orang membabitkan 14,427 keluarga ditempatkan di pelbagai pusat pemindahan sementara (PPS).
Menurut laman web info bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), setakat jam 2 petang hari ini, Kelantan merekodkan jumlah mangsa tertinggi melibatkan 38, 618 orang meliputi 10 daerah terlibat.
Di Terengganu pula JKM merekodkan 7,586 orang mangsa banjir di tujuh daerah, manakala Kedah seramai 839 orang penduduk terjejas di empat daerah.
Sementara itu Perlis merekodkan 274 mangsa melibatkan dua daerah, dan Johor pula mempunyai 28 orang mangsa melibatkan daerah Segamat.
Secara keseluruhan sebanyak 386 PPS dibuka di enam negeri berkenaan.
Terdahulu Perdana Menteri Anwar Ibrahim menzahirkan penghargaan kepada semua pihak dan agensi terlibat dalam membuat persiapan yang disifatkannya lebih baik menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) tahun ini.
Dia berkata di bawah Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi, Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) diarah memperkemas penyelarasan seluruh kekuatan jentera, agensi Persekutuan dan negeri untuk memastikan keselamatan serta kebajikan mangsa banjir.
Anwar berkata penduduk di kawasan terkesan akan terus menjadi keutamaan tertinggi sepanjang tempoh MTL ini yang dijangka berlarutan hingga Mac tahun depan.