Paling Popular
Terkini

PARLIMEN | Suruhanjaya Komunikasi Multimedia dan Malaysia (SKMM) dalam proses menilai tindakan punitif yang perlu diambil terhadap kontraktor yang gagal menyiapkan pembinaan menara telekomunikasi di bawah inisiatif Rangkaian Digital Kebangsaan (Jendela).

Diumumkan pada 2020 semasa pandemik, Jendela adalah inisiatif untuk mempercepatkan gentian dan mempercepatkan pengembangan serta penambahbaikan rangkaian 4G sedia ada.

Secara khusus, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil mendedahkan bahawa YTL Communications diperuntukkan 51 daripada 1,661 menara yang dirancang di bawah inisiatif Jendela, tetapi tidak ada yang beroperasi setakat 31 Oktober.

"YTL menerima 51 menara, dan daripada 51 itu, tiada satu pun yang beroperasi [...] Ini bermakna YTL berada di kedudukan paling rendah (berbanding penyedia perkhidmatan lain).

"Saya minta maaf kerana terpaksa menyatakan perkara ini. Daripada 51 menara, tiada satu pun yang telah siap sepenuhnya.

“Jadi saya minta SKMM meneliti semua menara yang tertangguh dan tindakan tegas akan diambil terhadap kontraktor (bertanggungjawab) sama ada dalam Fasa 1 atau Fasa 2,” kata Fahmi sebagai jawapan kepada Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (PN-Kuala Kangsar) semasa sesi soal jawan di Dewan Rakyat.

Dia berkata penalti yang boleh dikenakan bagi kegagalan menyiapkan pembinaan menara itu termasuk ganti rugi tercair, bon pelaksanaan dan penolakan tuntutan, serta tindakan lain yang diperuntukkan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“SKMM sedang dalam proses mengumpul maklumat dan bukti ketidakpatuhan bagi membolehkan tindakan diambil terhadap kontraktor yang gagal menyiapkan menara dalam tempoh masa yang ditetapkan,” tegasnya.

Daripada keseluruhan 1,661 menara telekomunikasi, Fahmi berkata 1,385 telah siap dan diserahkan kepada YTL, CelcomDigi, Maxis, UMobile dan Redtone, dan daripada jumlah itu, hanya 808 sedang beroperasi.

Baki 577 masih dalam pembinaan atau belum mula beroperasi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS