Seorang bekas ahli parlimen bertanya tindakan pembetulan yang diambil oleh kerajaan selepas mendapati penyelewengan dalam urusan Digital Nasional Berhad (DNB) ketika ia mula berkuasa.
Ini selepas Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata apa yang ditemuinya ketika mula-mula menjadi menteri adalah "menyeramkan dan mencemaskan".
Bercakap di Parlimen semalam, Fahmi berkata ketika mula-mula menyertai kabinet - sebagai menteri komunikasi dan digital ketika itu - tiada siapa yang tahu urusan yang berlaku dalam DNB.
“Ada beberapa perkara yang sewaktu saya ambil alih portfolio ini, yg agak menyeramkan dan mencemaskan yang mana kita dapati ia seperti tidak ada sesiapa dalam kementerian atau Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) yang mengetahui sebarang perkara yang berlaku dalam DNB pada masa saya ambil alih kontrak-kontraknya.
"(Sama ada soal) kontrak, atau angka-angka yang disebut itu," katanya.
Dia berkata timbalan ketua setiausaha Perbendaharaan ketika itu - Johan Mahmood Merican - sekalipun tidak mengetahuinya meski DNB adalah syarikat Kementerian Kewangan Diperbadankan (MOF Inc).
Fahmi berkata demikian sebagai menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Karim berhubung dakwaan bahawa pentadbiran Muhyiddin Yassin didakwa memperuntukkan RM16.5 bilion dana awam untuk pelancaran rangkaian 5G pertama oleh DNB.
Fahmi berkata dia tidak dapat menjelaskan lebih lanjut kerana DNB kini berada di bawah bidang kuasa Menteri Digital Gobind Singh Deo, yang akan berucap di Parlimen hari ini.
Menjawab kenyataan Fahmi, bekas ahli parlimen Bangi, Ong Kian Ming hari ini mempersoalkan apakah langkah yang diambil menteri itu selepas penemuannya yang mengejutkan itu.
“Apakah tindakan yang Fahmi lakukan untuk membersihkan perkara ‘menyeramkan dan mencemaskan’ yang ditemuinya di DNB ketika mula-mula menjadi menteri?
"Demi ketelusan, adakah dia dapat mendedahkan langkah-langkah pemulihan yang telah diambil, supaya ini boleh dijadikan kajian kes tentang cara 'membersihkan' entiti MOF Inc dengan betul?" soal Ong dalam satu siri hantaran di X.
Ahli politik DAP itu juga bertanya sama ada Fahmi telah membuat susulan terhadap dakwaannya sendiri agar anugerah 5G kepada Ericsson oleh DNB disiasat apabila menjadi menteri dan jika ya, apakah penemuannya.
Ong juga menimbulkan persoalan lanjut bagaimana Fahmi telah bekerjasama dengan DNB dan Ericsson untuk mencapai perkara seperti liputan 80 peratus sebelum tarikh akhir, dan sama ada terdapat sebarang ketidakwajaran dalam perbelanjaan DNB.
"Jawapan Fahmi di parlimen hadir pada masa apabila terdapat penelitian mengenai pemberian rangkaian 5G kedua kepada UMobile termasuk soalan mengenai ketelusan dan syarat anugerah," katanya.
"Membangkitkan lebih banyak soalan mengenai DNB tanpa memberikan jawapan substantif hanya akan menimbulkan lebih banyak soalan mengenai ekosistem 5G di Malaysia, termasuk kepada pelabur.
"Ini juga tidak adil kepada beberapa rakan kabinetnya yang mungkin tidak dapat menjawab beberapa soalan ini secara terbuka," tambahnya.