PARLIMEN | Malaysia tegas menentang genosid, menurut Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengulas kedudukan negara yang tidak menandatangani Konvensyen Pencegahan dan Hukuman Jenayah Genosid 1948 (Konvensyen Genosid).
Anwar berkata, Malaysia tidak menandatangani konvensyen itu atas beberapa sebab yang saling terkait dengan Statut Rom dan Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (Icerd).
Berucap di sidang Dewan Rakyat, Anwar berkata sebab-sebab tersebut melibatkan perkara seperti hak bumiputera dan LGBTQ+.
“Ia terikat dengan Statut Rom, dan setakat ini Malaysia dalam soal Icerd dan Statut Rom ini, ada kekangan kerana beberapa peruntukan dalam statut itu yang tidak boleh diterima oleh sebahagian masyarakat kita, terutama dalam dasar mempertahankan hak bumiputera, soal agama dan LGBT.
“(Perkara itu) juga telah ditimbulkan oleh Raja-raja Melayu,” kata Anwar.
Dia menjawab soalan Ahmad Tarmizi Sulaiman (PN-Sik) berkenaan jika Malaysia boleh menandatangani Konvensyen Genosid bagi membolehkan negara mengambil tindakan lebih tegas ke atas serangan Israel di Palestin.
Anwar berkata sebuah jawatankuasa pilihan khas Parlimen yang rentas parti boleh membincangkan soal Statut Rom.
“Saya fikir jawatankuasa pilihan (khas Parlimen) boleh bincang antara parti tentang bagaimana kita boleh majukan isu ini…maknanya melihat semula peruntukan Statut Rom dan kalau ada kesepakatan, kita boleh teruskan.
“Walaupun (begitu), saya harus nyatakan kita ada sedikit kebimbangan melihat kepada suasana dan peruntukan Perlembagaan kita dan pendirian Raja-raja Melayu,” katanya lagi.
Tiada masalah untuk sokong Afrika Selatan
Pada 2019, Malaysia menarik diri daripada menjadi penandatangan Statut Rom selepas bantahan daripada pembangkang, selain gagal mendapat persetujuan Majlis Raja-Raja.
Statut Rom adalah perjanjian yang membawa kepada penubuhan Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC).
Berhubung Icerd pula, Malaysia adalah satu daripada hanya dua negara majoriti Muslim yang tidak meratifikasinya. Satu lagi negara adalah Brunei.
PBB memperkenalkan Icerd pada 1965 untuk menangani isu pergeseran kaum di peringkat global tetapi di Malaysia, ia dilihat sebagai ancaman kepada "kontrak sosial".
Hari ini, kata Anwar, Presiden Afrika Selatan Cyril Ramaphosa menyatakan tiada halangan untuk Malaysia menyokong tindakan undang-undang yang diambil negara itu terhadap Israel di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ).
Ini termasuk untuk menghantar wakil ke ICJ dan menyatakan pendirian negara dalam menyokong Palestin, kata Anwar lagi.
Katanya, walaupun Malaysia tidak dapat memfailkan saman kerana tidak termasuk dalam Statut Rom, ia tidak menghalang negara daripada menyokong usaha tersebut.
“Dalam soal genosid, kita telah umumkan pendirian yang jelas dan saya ingin menarik perhatian dalam pertemuan kita minggu lalu, saya telah sebut yang setelah kita tekankan isu genosid, Presiden Colombia (Gustavo Petro) yang mendengar ucapan saya terus menyatakan dalam menyokong pendirian Malaysia, dia tegaskan yang ‘genocide is genocide’.
“Maknanya (Petro) minta supaya sidang G20 menerima kenyataan berkenaan genosid ini,” katanya lagi.