Polis mengesahkan sembilan saksi telah dipanggil untuk merekodkan keterangan mereka berhubung dakwaan kes penderaan terhadap kadet Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) UiTM Muhammad Amir Rusyaidi Muhammad Zaidi.
Sembilan yang dipanggil termasuk pelaku yang didakwa bersalah.
Ketua Polis Daerah Shah Alam Mohd Iqbal Ibrahim memberi maklum balas kepada Malaysiakini sama ada polis telah menahan pelaku yang didakwa.
"Ada salah faham... (Dia) dipanggil untuk memberi kenyataan," kata Iqbal.
Ketua Polis Selangor Hussein Omar Khan berkata bapa mangsa Muhammad Zaidi Abdul Rahman adalah antara sembilan saksi yang telah dipanggil untuk disoal siasat.
Dia juga berkata siasatan awal mendapati sesi latihan “tidak berjadual” yang didakwa sebenarnya adalah ujian kecergasan sebelum latihan asas Palapes dimulakan pada 2025.
“Pada hari kejadian, arwah dikenakan hukuman tekan tubi oleh jurulatih kerana ketinggalan semasa sesi larian.
“Pelajar itu diperhatikan melompat berulang kali sebelum rebah,” katanya.
Hussein turut berkata, Allahyarham Amir dirawat di wad kecemasan zon merah Hospital Shah Alam.
Jelasnya, hasil pemeriksaan awal, mangsa dalam keadaan separuh sedar dan mempunyai suhu badan yang tinggi.
“Walaupun usaha rehidrasi diberikan, tiada tindak balas positif. Allahyarham mengalami sawan dan menerima rawatan seterusnya sebelum dimasukkan ke unit rawatan rapi. Tiada kecederaan luaran ditemui pada badan.
“Pelajar itu disahkan meninggal dunia pada 13 Nov 2024, kira-kira jam 2.01 pagi. Punca kematian ditentukan sebagai ‘stroke haba dengan kegagalan multiorgan’,” tambahnya.
Semalam, Malaysiakini melaporkan Amir meninggal dunia pada 13 Nov selepas mengikuti sesi latihan yang didakwa meletihkan.
Bapa Amir mendakwa dalam laporan polis bahawa anaknya telah mengalami pelbagai bentuk penderaan fizikal, termasuk dipijak di dada, dipaksa melakukan pergerakan seperti kuda dengan jurulatih menunggang di belakangnya, dan diarah melompat seperti kanggaru.
Aktiviti pada 10 Nov ini didakwa dirakamkan dalam video oleh jurulatih.
Kadet berusia 25 tahun itu rebah selepas menjalani latihan dan koma sehingga kematiannya.