Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Lawatan luar negara: PM bersilat nak lepas perangkap sendiri - Muhyiddin

WAWANCARA | Muhyiddin Yassin menuduh Perdana Menteri Anwar Ibrahim "bersilat" ketika menjawab soalan mengenai lawatan rasmi Anwar merentasi tiga benua di lima negara baru-baru ini.

Dalam temu bual eksklusif dengan Malaysiakini, bekas perdana menteri itu turut membidas Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berhubung penjelasannya mengenai perkara itu.

Tanpa berlapik, dia memberitahu Fahmi, yang merupakan jurucakap kerajaan, supaya tidak menjadi "bodoh".

"Saya tengok dia (Anwar) bersilat, dari parlimen, di luar parlimen, menteri komunikasi jawab, lepas tu ada pegawai membuat penjelasan. Perdana menteri jawab menteri balik, apa makna? Dia cuma nak cari jalan nak lepaskan diri daripada perangkap yang dia buat sendiri," kata pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu.

Muhyiddin, yang juga presiden Bersatu, berkata beliau dia pernah membawa anak-anaknya menaiki penerbangan rasmi semasa menjadi perdana menteri.

“Saya perdana menteri juga dulu, saya tak pernah bawa anak-anak saya naik kapal terbang. Padahal tempted (teringin), nak kawan saya bagi, tapi saya kata ‘No’. Peraturannya tak boleh," tegasnya, merujuk kepada kritikan mengenai kehadiran anak Anwar Nurul Izzah di beberapa acara semasa lawatan rasmi itu.

Fahmi sebelum ini menjelaskan bahawa pihak penganjur menjemput Nurul Izzah.

Kenyataan Anwar di Dewan Rakyat

Dua hari selepas pulang ke Malaysia pada 19 Nov, Anwar, semasa Sesi Soal Jawab Perdana Menteri di Dewan Rakyat, menjawab pertanyaan mengenai kos perjalanan 11 hari itu.

Dia berkata kerajaan telah bekerjasama dengan syarikat swasta sebagai cara untuk mengurangkan perbelanjaan perjalanan.

“Maknanya, kalau tidak silap saya, sekitar 70 hingga 80 peratus kos penerbangan ditanggung oleh syarikat swasta ini yang mempunyai kepentingan perniagaan dan pelaburan di negara-negara berkenaan kerana kerajaan membantu syarikat-syarikat ini sama ada mereka mengimport atau mengeksport,” tambahnya.

Bagaimanapun, Hansard Parlimen menunjukkan Anwar tidak menjelaskan bahawa syarikat swasta hanya membayar bahagian mereka dalam perbelanjaan perjalanan, dan bukannya kerajaan, yang didedahkan Fahmi kemudian.

SPRM mesti siasat

Muhyiddin dilantik sebagai perdana menteri kelapan Malaysia pada 1 Mac 2020, semasa permulaan pandemik Covid-19 yang membawa kepada sekatan perjalanan domestik dan antarabangsa.

Ahli Parlimen Pagoh itu meletak jawatan pada 16 Ogos 2021, selepas 17 bulan memegang jawatan. Ketika tempoh itu, dia melakukan lima lawatan rasmi ke luar negara - dua kali ke Indonesia, Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu dan Brunei.

Mengimbau perjalanan rasminya, Muhyiddin berkata perdana menteri akan menggunakan pesawat rasmi itu apabila mewakili Malaysia di luar negara.

“Nak pakai jet lain, kena sewa. Tapi tak ada business people (orang perniagaan) duduk dalam itu. Apa kata kalau dia cakap ‘You tolong bayar bill saya?’" soalnya.

Pada 25 Nov, Anwar menjelaskan bahagian perbelanjaan perjalanannya menggunakan pesawat Malaysia Airlines yang disewa berjumlah RM1.6 juta dan semuanya ditanggung oleh kerajaan.

Anwar menambah baki tempat duduk ditawarkan kepada sejumlah syarikat swasta yang tidak didedahkan yang secara keseluruhannya membayar RM4.5 juta untuk bahagian mereka dalam kos penerbangan.

Muhyiddin bagaimanapun berkata menyewa penerbangan bukan seperti menyewa kereta.

"Jadi bila perdana menteri keluar kenyataan begitu, lepastu dia bersilat dengan sini situ.

Muhyiddin turut mengingatkan Anwar bahawa kerajaan pada 2022 telah mengeluarkan arahan supaya semua kakitangan kerajaan tidak menerima sebarang bentuk derma atau sumbangan yang boleh membawa kepada rasuah.

Dia berkata Anwar sebagai perdana menteri dan menteri kewangan sepatutnya dinasihatkan supaya mengelakkan sebarang situasi yang boleh menimbulkan persepsi negatif masyarakat.

"Hal ini akan menimbulkan luar sangka, ataupun sangka buruk. Kita sebagai pemimpin, nak elak orang sangka buruk walaupun kita punya perbuatan mungkin tak terlalu sangat.

"Tapi daripada orang menyangka buruk, kita jangan buat.

"Ini lebih daripada buruk, jadi persoalan yang saya dah keluar kenyataan, adakah SPRM siasat? Untuk berlaku adil, kena siasat," katanya.

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil

'Jangan jadi menteri bodoh'

Muhyiddin turut menyelar Fahmi kerana menyatakan bahawa dengan menggunakan pesawat sewa khas, Putrajaya menjimatkan RM900,000 daripada anggaran kos awal sehingga RM2.5 juta.

“Itu jangan bohonglah, dulu pun luar negara, waktu saya, waktu Tun Dr Mahathir Mohamad, waktu dulu, semua pergi luar negara.

"Biasanya, tak boleh ajaklah swasta nak pergi. Dia terbang ke, dia naik kapal… dia pergi sini, dia jumpa masa sampai kat hotellah.

"Cuma waktu pertemuan. Bila (mesyuarat) business dia ada, dia jumpa hotel, balik, balik sendiri. Jadi tak ada sangkaan apa-apa. Jangan bagi alasan. Fahmi jangan jadi menteri yang bodoh. Ini negara kita dan kita ada peraturan,” tambahnya.

Dalam menjelaskan jawapan awal Anwar di Dewan Rakyat, Fahmi menegaskan syarikat yang mengiringi lawatan itu mempunyai kepentingan pelaburan, seperti Petronas, yang mempunyai pelaburan sehingga AS$6 bilion (RM26.8 bilion) di Brazil.

Selain ahli politik pembangkang, CSO Platform for Reform juga sebelum ini mengeluarkan kenyataan yang menyatakan kebimbangan mengenai pembiayaan sektor swasta yang menjejaskan integriti kerajaan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS