Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Peguam Negara mesti jelaskan isu ‘kegagalan’ kes IPIC - Bersih
Diterbitkan:  Nov 27, 2024 11:13 PM
Dikemaskini: 3:13 PM

Peguam Negara Mohd Dusuki Mokhtar perlu tampil dengan penjelasan awam mengenai dakwaan pengendalian yang lemah dalam kes pecah amanah jenayah (CBT) melibatkan International Petroleum Investment Company (IPIC), kata kumpulan reformasi pilihan raya Bersih.

Ini susulan keputusan mahkamah memberikan pelepasan tanpa pembebasan (DNAA) kepada bekas Perdana Menteri Najib Razak dan bekas ketua setiausaha perbendaharaan Mohd Irwan Serigar bagi enam tuduhan CBT mereka hari ini apabila pihak pendakwaan gagal menyerahkan beberapa dokumen sulit penting untuk kes tersebut.

Bersih berkata kes ini melibatkan kepentingan awam dan peguam negara perlu menjelaskan mengapa dokumen tersebut gagal diserahkan kepada pihak pembelaan seperti yang dikehendaki undang-undang.

"Kes ini telah didaftarkan semenjak 2018 lagi dan adakah mustahil untuk pihak pendakwaan mendapatkan serta mengemukakan dokumen-dokumen yang berkaitan bagi meneruskan pendakwaan ini?

"Adakah ini satu kesilapan yang disengajakan oleh pihak pendakwaan kerana lapan tahun adalah satu tempoh yang terlalu panjang.

"Tiga perdana menteri telah bertukar sepanjang tempoh tersebut," katanya pada satu kenyataan hari ini.

Bersih menekankan akyat berhak mendapat penjelasan kerana keseluruhan kos kes ini, termasuk gaji pendakwa, ditanggung oleh pembayar cukai.

DNAA yang diberikan kepada Najib dan Irwan hari ini menambah satu lagi titik hitam kepada sistem kehakiman Malaysia, katanya, selepas Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi juga diberikan DNAA pada September tahun lalu.

Zahid menghadapi 47 tuduhan rasuah dalam kes Yayasan Akalbudi, tetapi pihak pendakwaan memohon DNAA walaupun kes prima facie telah dibuktikan.

Jabatan Peguam Negara mendakwa tanpa memberi penjelasan lanjut mempunyai alasan ‘kukuh’ untuk menarik balik tuduhan terhadap Zahid, manakala SPRM menyatakan ia masih meneruskan siasatan terhadap petunjuk baru dalam kes tersebut.

Sementara itu, Bersih menuntut kerajaan mengumumkan garis masa yang jelas untuk menunaikan janji memisahkan pejabat Peguam Negara dan Pendakwa Raya, serta memastikan Perdana Menteri Anwar Ibrahim melaksanakan mengikut garis masa tersebut.

"Reformasi ini adalah reformasi terbesar dan mendesak yang perlu dilaksanakan dengan segera. Berapa banyak DNAA akan diberi kepada ahli politik sebelum pemisahan ini dimuktamadkan,” katanya.

Bersih memberi amaran agar tidak menjadikan alasan DNAA sebagai keputusan mahkamah, memandangkan hakim perbicaraan jelas menyatakan DNAA berlaku disebabkan kesilapan pendakwaan.

Seruan untuk mempercepatkan pemisahan pejabat Peguam Negara dan Pendakwa Raya turut disuarakan oleh Muda.

Kesilapan seperti ini, kata Muda walaupun tidak disengajakan mencerminkan risiko integriti dalam sistem keadilan jika tiada pembaharuan struktur dilakukan.

Muda mendakwa DNAA untuk Najib dan Irwan turut mencabar komitmen Pakatan Harapan dalam memerangi rasuah, terutamanya memandangkan Harapan mendapat mandat untuk membawa Najib ke muka pengadilan berhubung skandal 1MDB.

Muda turut mengkritik parti pembangkang lain yang didakwa tidak berminat dalam semak dan imbang terhadap isu-isu penting seperti ini.

Ia menyeru semua pihak, sama ada kerajaan mahupun pembangkang, agar tegas dalam menegakkan keadilan dan ketelusan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS