Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Asam garam wartawan media bebas: Disekat, dihalau perkara biasa

Pada suatu petang pada tahun 2005, di McDonald’s Bangsar, Kuala Lumpur, saya menghadiri sesi temu duga bersama Yong Kai Ping, editor pengasas edisi Cina Malaysiakini. Hari itu menandakan permulaan perjalanan saya sebagai salah seorang daripada tiga ahli pasukan pengasas.

Pada hari pertama bekerja, saya tiba di pejabat Malaysiakini yang ketika itu terletak di Bangsar. Ketua editor, Steven Gan membuka pintu untuk saya. Pada masa itu, saya tidak tahu dia adalah bos—saya tidak pernah bertemu dengannya. 

Dengan santai, dia tunjuk sebuah kerusi kosong dan kata, “Kamu boleh duduk sini.”

Tidak seperti ketua editor tradisional, Steven tidak mempunyai pejabat peribadi dan bekerja bersama wartawan serta editor lain. Dia tidak bergantung kepada setiausaha untuk menguruskan tugasnya dan sering menjawab sendiri telefon pejabat. 

Tidak kira hujan atau panas, dia konsisten memuat naik artikel setiap hari bermula enam pagi. Prinsip teguhnya menjadi asas kepada batu asas editorial Malaysiakini hingga hari ini.

Walaupun gaji yang ditawarkan Malaysiakini hanya RM50 lebih tinggi daripada gaji saya sebelum ini, peranan itu memberikan ganjaran yang jauh lebih besar—rasa tanggungjawab mendalam dan kepuasan memperjuangkan kebebasan akhbar.

Pilihan mengejutkan dan cabaran Awal

Keputusan saya menyertai Malaysiakini mengejutkan keluarga. Bapa saya malah memberi amaran, “Jangan jadi macam Tian Chua.” 

Fizikal saya tinggi, kurus, berkaca mata, kelihatan seperti Tian Chua, tokoh terkenal gerakan Reformasi yang dikenali kerana berani berdepan meriam air. 

Malaysiakini sering dianggap sebagai “media alternatif,” yang biasanya dikaitkan dengan aktivis dan segelintir pejuang kebebasan akhbar yang idealistik. Hanya segelintir graduan kewartawanan mempertimbangkan berkhidmat di sini.

Sebelum tsunami politik 2008, wartawan Malaysiakini tidak diterima baik oleh kerajaan BN. Tiada jabatan kerajaan atau ahli politik BN yang menghantar siaran akhbar atau jemputan media kepada kami. 

Kami bergantung sepenuhnya pada bantuan wartawan lain yang berkongsi maklumat tersebut. Saya sangat menghargai sokongan yang diberikan mereka. Tanpa bantuan itu, Malaysiakini tidak akan sampai ke tahap ini.

Beberapa kali, saya diminta meninggalkan sidang media. Salah satu insiden berlaku semasa taklimat oleh seorang pegawai kanan di Bukit Aman. 

Pegawai tersebut, salah seorang daripada ‘Four Heavenly Kings’ (empat pegawai kanan), memulakan sesi dengan bertanya, “Siapa di sini dari Malaysiakini?” 

Saya angkat tangan, dan dia pun kata, “Sila keluar.”

Insiden lain berlaku semasa Perhimpunan Agung Umno. Ketika saya sedang menulis artikel di bilik media, seorang pegawai datang dan meminta kami keluar. 

Namun, kami tidak berputus asa dan berpindah ke koridor, duduk atas lantai (bawah), buat kerja macam biasa, meskipun beberapa kali cuba dihalau lagi oleh polis bantuan.

Walaupun menghadapi pelbagai halangan, kami bertahan. Laporan kami sentiasa disediakan dengan teliti, dan soalan kami yang tajam serta liputan pantas--yang menjadi gaya tersendiri Malaysiakini

Menteri dan pegawai sering merasa gentar berdepan wartawan kami, kerana kami kerap membangkitkan isu-isu yang dihindari oleh media arus perdana, seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri, demonstrasi, dan isu Anwar Ibrahim.

Merapatkan jurang bahasa, cabar monopoli

Edisi Cina Malaysiakini dilahirkan di tengah-tengah bantahan awam terhadap pengambilalihan Nanyang Press oleh MCA, yang akhirnya bergabung dengan penerbitan lain bawah Media Chinese International. 

Dalam gerakan menentang pengambilalihan dan monopoli ini, Malaysiakini dan Merdeka Review (kini tidak lagi beroperasi) memainkan peranan penting menyediakan naratif alternatif.

Selain mencabar monopoli media, Malaysiakini bertujuan untuk merapatkan jurang bahasa. Sebelum kebangkitan media sosial, pembaca dari pelbagai bahasa wujud dalam gelembung berasingan, sering tidak menyedari berita dari komuniti lain.

Contohnya, sebelum pilihan raya umum 2008, presiden MCA ketika itu, Ong Ka Ting, dan Menteri Pendidikan Hishammuddin Hussein mengadakan sidang media untuk mengumumkan rancangan membina dan memindahkan sekolah rendah Cina. 

Acara itu hanya dihadiri lima akhbar Cina, dua stesen TV Cina, dan The Star milik MCA. Sebagai tetamu yang tidak diundang, saya berjaya masuk selepas banyak rundingan dan menterjemahkan pengumuman itu ke dalam pelbagai bahasa, memecahkan tradisi komunikasi selektif.

Amalan menyampaikan mesej yang berbeza untuk khalayak tertentu bukanlah eksklusif kepada satu pihak sahaja. Namun, pendedahan konsisten oleh Malaysiakini terhadap amalan ini akhirnya menghalang ahli politik daripada mengulanginya.

Meneroka masa depan

Malaysiakini sentiasa tegas menentang sebarang cubaan menghalang kebebasan akhbar. Mana-mana usaha untuk menyekat laporan kami atau menuntut penarikan balik laporan sering menjadi berita itu sendiri.

Tsunami politik 2008 menjadi titik perubahan apabila media dalam talian akhirnya diiktiraf oleh kerajaan. Buat pertama kali, Kementerian Penerangan mengeluarkan pas media kepada wartawan dalam talian, memberikan kami akses kepada jabatan kerajaan. 

Walaupun ini satu langkah ke hadapan, pembaharuan sistemik masih belum mencukupi.

Hampir dua dekad berlalu sejak penubuhan edisi Cina Malaysiakini. Walaupun landskap media bertambah baik, kewartawanan tradisional kini menghadapi cabaran yang belum pernah terjadi. 

Pejabat lama di Bangsar, KL

Dalam era pempengaruh, berita yang diperoleh dengan susah payah oleh wartawan profesional sering digunakan semula oleh pencipta kandungan untuk kepentingan sendiri. 

Jika wartawan tradisional hilang dan berita menjadi reaktif semata-mata, kualiti dan kebolehpercayaan maklumat pasti merosot.

Ketika Malaysiakini meraikan ulang tahun ke-25 pada bulan ini, kami berkembang dari sekadar mengejar berita semasa kepada memberi tumpuan kepada laporan mendalam, kewartawanan data dan kandungan interaktif. 

Namun, satu perkara tetap sama: komitmen kami untuk mendedahkan kebenaran, menuntut kebertanggungjawaban pihak berkuasa, dan mengangkat suara golongan terpinggir.

Steven Gan

Seperti yang ditekankan Steven, “Kebebasan kewangan adalah asas kepada kebebasan editorial.”

Keupayaan Malaysiakini bertahan selama 25 tahun adalah hasil daripada sokongan padu pembaca. 

Ketika kami menantikan lagi 25 tahun, kami berharap dapat meneruskan perjalanan ini bersama anda, memperjuangkan impian terhadap kebebasan akhbar yang belum tuntas di Malaysia.


NG LING FONG ialah editor pengurusan Malaysiakini dan telah berkhidmat selama 19 tahun di portal ini.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS