Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
SSPA: KKM adakan pertemuan dengan kesatuan jururawat esok
Diterbitkan:  Nov 27, 2024 7:00 PM
Dikemaskini: 11:00 AM

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan mengadakan pertemuan dengan kesatuan jururawat bagi mendapatkan input selain mengenal pasti perkara berbangkit berkaitan dengan penambahan waktu kerja profesion itu berkuat kuasa 1 Dis ini.

Menterinya Dzulkefly Ahmad berkata pertemuan esok melibatkan lima kesatuan jururawat yang menyatakan kesediaan berbincang dan berkongsi pandangan berhubung pelaksanaan arahan baru melalui Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) itu.

Katanya pihak yang terlibat ialah Kesatuan Jururawat Malaya; Kesatuan Bidan-bidan dan Jururawat Masyarakat Kerajaan Semenanjung Malaysia; Kesatuan Perkhidmatan Kesihatan Sabah; Kesatuan Perkhidmatan Kesihatan Sarawak dan Kesatuan Sekerja Kementerian Kesihatan Malaysia.

“KKM mahu supaya pelaksanaan arahan ini dilaksanakan setelah kita benar-benar pastikan kepentingan, kebajikan dan kemaslahatan mereka yang terlibat, khususnya jururawat, dapat dibela dan dijamin.

“Untuk sampai ke situ, saya kira kita perlu mengadakan beberapa sesi libat urus dengan pihak berkepentingan agar semua hal berbangkit diuruskan sesegera mungkin,” katanya.

Sebelum ini beberapa pihak serta kesatuan terbabit menyuarakan kebimbangan terhadap beban tugas serta kesan daripada pelaksanaan arahan baru SSPA itu.

Antara lain, mereka akan perlu bekerja tiga jam lebih lama, iaitu daripada 42 jam kepada 45 jam seminggu.

Dzulkefly berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Persidangan Antarabangsa Perubatan Tradisional dan Pelengkap ke-10 di Shah Alam, Selangor.

Sebelum ini, Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) dilaporkan mahu KKM mengadakan dialog menyeluruh dengan badan profesional seperti Kesatuan Jururawat Malaya berhubung isu berkenaan.

Kata MTUC, ketiadaan libat urus sedemikian akan melemahkan pendekatan kolaboratif yang diperlukan untuk merangka dasar yang adil dan sesuai dengan realiti lapangan.

Sementara itu Dzulkefly berkata dia berpandangan tidak ada halangan bagi mana-mana pihak memfailkan saman terhadap kerajaan, namun keputusannya bergantung kepada proses perundangan di mahkamah.

Ahli Parlimen Kuala Selangor itu berkata sebagai sebuah negara yang mengamalkan kedaulatan undang-undang sesiapa sahaja boleh mengambil tindakan mahkamah, dan kerajaan tidak terkecuali.

Dia berkata demikian bagi mengulas saman RM60 juta difailkan oleh lapan individu terhadap Malaysia dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang mendakwa vaksinasi Covid-19 menyebabkan kematian dan komplikasi kesihatan teruk.

Dzulkefly merupakan seorang daripada 25 defendan yang dinamakan dalam saman itu.

Dia bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai hal itu sebaliknya meminta agar menunggu tindakan seterusnya yang akan diambil kerajaan.

“Tak banyak yang saya boleh komen, kita tunggu dalam proses perundangan untuk mempertahankan diri,” katanya.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS