PARLIMEN l Seorang ahli parlimen kerajaan meminta supaya Kementerian Komunikasi memberi perlindungan kepada dua wartawan Malaysiakini yang berdepan ugutan.
RSN Rayer (PH-Jelutong) yang merujuk kepada peruntukan Hari Wartawan Nasional berkata, dana sedia ada bernilai RM5 juta perlu ditambah selepas tiada peningkatan berbanding tahun-tahun terdahulu.
"Dalam kontek ini saya ingin merujuk kepada Hari Wartawan Nasional bahawa peruntukannya sama RM5 juta. Saya merasakan peruntukan ini perlu ditambah, kita perlu memuji wartawan-wartawan yang membongkarkan apa-apa skandal, memberikan mereka penganugerahan.
"Dalam konteks ini juga saya minta supaya kementerian memberi perlindungan kepada dua wartawan S Vinothaa dan B Nantha Kumar yang menerima ugutan kerana membongkarkan isu pemergadangan manusia," katanya.
Dia berkata demikian pada sesi perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2025 peringkat Jawatankuasa Kementerian Komunikasi di Dewan Rakyat, hari ini.
Semalam program 'Di Sebalik Kini' merungkai dengan lebih mendalam mengenai laporan eksklusif Malaysiakini membabitkan pekerja asing bertajuk 'Majikan kaut jutaan ringgit menerusi sindiket A to B’ dan ‘Urus niaga jutaan ringgit dari penipuan permohonan kuota pekerja asing’.
Hos KiniTV Sheha Mohd Amin menemubual Nantha Kumar dan Vinothaa berkenaan pengalaman mereka diugut demi menghasilkan laporan berkaitan isu pemerdagangan pekerja asing.
Dalam wawancara itu, Vinothaa mendedahkan dia pernah diugut, bahkan ketika berada berhampiran sebuah balai polis.
"Ada ugutan depan balai polis. Dia keluar pisau besar,” katanya.
"I dengar (bunyi pisau) cing, cing, cing... dia nak dapatkan perhatian saya, kerana saya tak tengok dia. (Saya) kat depan balai polis sahaja," katanya.
Rayer berkata, laporan ugutan yang diterima dua wartawan Malaysiakini itu satu berita yang mengejutkan dan harus diberi perhatian.