Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Mati lepas kena 'tunggang': UiTM kaji semula latihan Palapes
Diterbitkan:  Nov 27, 2024 6:08 PM
Dikemaskini: 4:54 PM
1

Universiti Teknologi Mara (UiTM) menyatakan komitmen mengkaji semula program pegawai kadet Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) susulan kematian salah seorang pelajarnya yang didakwa akibat didera oleh jurulatih.

UiTM pada satu kenyataan berkata pihaknya bersedia memberi kerjasama penuh terhadap siasatan yang sedang dijalankan.

"Universiti Teknologi Mara (UiTM) merasa amat berdukacita dan ingin menyampaikan ucapan takziah dan rasa simpati yang mendalam kepada keluarga pelajar seorang pegawai kadet Palapes UiTM yang telah meninggal dunia pada 13 November 2024.

"Pihak pengurusan UiTM memandang serius kejadian yang telah dilaporkan dan menyerahkan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Lembaga Siasatan di bawah Angkatan Tentera Malaysia (ATM) untuk melakukan siasatan lanjut berhubung kes ini.

Pelatih Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) UiTM, Allahyarham Muhammad Amir Rusyaidi Muhammad Zaidi yang didakwa menjadi mangsa dera.

"Pihak UiTM akan memberi kerjasama sepenuhnya berhubung siasatan insiden ini.

"UiTM komited dalam memastikan keselamatan dan kebajikan setiap pelajarnya sentiasa diutamakan," kata universiti tersebut pada satu kenyataan hari ini.

Sementara itu, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berikrar menyiasat kes tersebut secara menyeluruh dan tindakan lanjut akan diambil sebaik sahaja siasatan selesai.

Seorang pelatih Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) UiTM, Muhammad Amir Rusyaidi Muhammad Zaidi, meninggal dunia pada 13 Nov lalu selepas didakwa menjalani sesi latihan jerih dan tidak berjadual.


BACA BERKAITAN:

Bapa dakwa pelatih Palapes UiTM meninggal dunia lepas 'ditunggang'


Bapa pelatih terbabit, Muhammad Zaidi Abdul Rahman, juga mendakwa kejadian itu melibatkan penderaan secara fizikal.

Dalam laporan kepada polis, Zaidi berkata anaknya mengalami pelbagai penderaan termasuk dipijak dadanya serta dipaksa melakukan pelbagai aksi termasuk seperti kuda dan ditunggang oleh jurulatihnya.

Zaidi juga mendakwa Amir Rusyaidi dipaksa melompat seperti kangaru.

Katanya insiden tersebut berlaku pada 10 Nov dan dirakam oleh jurulatih terbabit. Amir Rusyaidi, 25, dakwanya, dibiarkan pengsan di tengah padang dan di bawah panas matahari selama lebih kurang 30 minit.

Dia mendakwa jurulatih terbabit tidak mengambil apa-apa tindakan sebelum rakan Amir Rusyaidi cuba menolongnya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
1
ADS