Pemuda PAS Pulau Pinang akan menganggap Pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi gemar "kelentong" jika gagal mendedahkan nama individu yang didakwanya memujuk parti itu meninggalkan kerajaan.
Ketua Penerangan PAS Pulau Pinang, Ibrahim Ani, berkata pihaknya meragui kebenaran kata-kata Ahmad Zahid.
Sebaliknya kata Ibrahim, Pemuda PAS Pulau Pinang mengesyaki timbalan perdana menteri itu membuat dakwaan berkenaan untuk mengalih masalah peribadi yang menyaksikan dia masih "tersepit" dengan isu rasuah - yang kini berstatus DNAA (dibebas tanpa dilepas) oleh mahkamah.
Keadaan itu, dakwa Ibrahim, akan menamatkan riwayat politik Ahmad Zahid.
"Sekiranya Ahmad Zahid gagal menyebut empat nama ahli parlimen PN (yang memujuk BN) tersebut, maka Pemuda PAS Pulau Pinang menganggap beliau benar-benar telah dihinggapi penyakit suka kelentong seperti guru politik beliau," katanya.
Kenyataan "guru politik" itu dipercayai merujuk kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
Ahmad Zahid pada 24 Nov lalu mendakwa dia didatangi pihak tertentu yang memujuk agar dia membawa BN meninggalkan kerajaan perpaduan bagi membentuk jajaran baru politik.
Malah ahli parlimen mewakili Bagan Datuk itu mendakwa dia ditawarkan menjadi perdana menteri jika bersetuju dengan cadangan tersebut. Ia sekali gus mencetuskan tanda tanya mengenai kedudukan Muhyiddin Yassin selaku Pengerusi PN.
Anggap fitnah kepada PN
Hari ini salah seorang ahli parlimen PAS berkata, tidak ada apa-apa yang rahsia dalam isu memujuk BN meninggalkan kerajaan perpaduan kerana ia memang selalu dinyatakan secara terbuka.
Malah kata Shahidan Kassim ajakan itu turut dibuat dalam ceramah-ceramah PN.
Kata Ibrahim rakyat kini muak melayan pelbagai dakwaan daripada presiden Umno itu dan percaya ia juga dijadikan alasan untuk mengalih perhatian orang ramai daripada kerajaan.
"Timbalan Perdana Menteri dan Perdana Menteri sekarang dilihat semakin menjadi liabiliti kepada kerajaan dengan pelbagai isu termasuklah isu lawatan ke luar negara baru-baru ini.
"Maka selain isu DNAA, kenyataan terbaru Presiden Umno itu juga sebenarnya bertujuan mengalih isu yang lebih besar penyelewengan dan kegagalan kerajaan Madani mendepani kos sara hidup yang kian menekan dan menghimpit rakyat.
"Sekiranya Presiden Umno berani dan benar dalam dakwaannya, Pemuda PAS Pulau Pinang mencabar beliau untuk namakan siapakah empat orang wakil PN yang bertemunya.
"Jangan bersembunyi di sebalik dakwaan dan fitnah jahat beliau kepada PN," katanya.