Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Polis selamatkan remaja perempuan diculik sebagai tebusan
Diterbitkan:  Nov 27, 2024 2:37 PM
Dikemaskini: 6:37 AM

Polis berjaya menyelamatkan seorang remaja perempuan berusia 15 tahun yang didakwa dijadikan tebusan oleh sekumpulan remaja di sebuah pangsapuri di Shah Alam, Selangor minggu lalu.

Bapa mangsa membuat laporan polis berhubung perkara itu pada pukul 10.28 malam, 16 November apabila anak perempuannya tidak pulang ke rumah di Taman Kem, Pelabuhan Klang, selepas keluar pada pukul 6.30 petang hari yang sama.

Menurut bapa mangsa, dia menerima pesanan suara daripada anaknya yang meminta untuk menjemputnya di satu lokasi di Subang.

Dalam pesanan suara itu, kedengaran seperti anaknya sedang bertengkar dengan seorang lelaki.

Namun apabila bapanya tiba di lokasi tersebut, remaja itu tiada di sana, kata Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Cha Hoong Fong, dalam kenyataan semalam.

Selepas itu, bapa mangsa menerima pesanan teks yang mengatakan suspek akan "membebaskan mangsa di Kuala Lumpur".

Dia kemudian memberitahu suspek yang dia akan membuat laporan polis, tetapi suspek mengancam untuk menjual anaknya jika dia tidak membayar wang tebusan.

Dua hari kemudian, kira-kira pada pukul 11 malam, polis menyerbu sebuah pangsapuri di i-City, Shah Alam dan berjaya menyelamatkan mangsa yang ditemui dalam keadaan selamat.

Suspek direman

Polis menahan lima remaja - tiga lelaki dan dua perempuan - berusia antara 15 hingga 19 tahun.

Dua remaja lain, masing-masing berusia 16 dan 18 tahun, ditahan kira-kira dua jam kemudian berhampiran pusat membeli-belah Midvalley Megamall, kata Cha lagi.

Suspek yang berusia bawah umur 18 tahun direman selama sehari, manakala yang lain direman sehingga 22 November.

Kes ini disiasat di bawah Seksyen 363 Kanun Keseksaan atas kesalahan menculik individu di bawah umur 16 tahun daripada penjaganya yang sah.

Sabit kesalahan boleh membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan denda.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS