Bekas perdana menteri Najib Razak dan bekas ketua setiausaha perbendaharaan Mohd Irwan Serigar Abdullah dilepas tanpa dibebaskan (DNAA) atas enam pertuduhan pecah amanah (CBT) membabitkan RM6.6 bilion.
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini membenarkan permohonan DNAA pasukan pembelaan, berikutan kegagalan pihak pendakwaan menyerahkan beberapa dokumen sulit yang penting kepada kedua-dua tertuduh untuk persediaan pembelaan mereka.
Kes jenayah itu telah berlarutan sejak Najib dan Irwan pertama kali didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 25 Oktober 2018. Kes itu kemudiannya dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.
Semasa prosiding mahkamah terbuka pagi ini, hakim Muhammad Jamil Hussin menegaskan bahawa pihak pendakwaan gagal mematuhi kehendak Seksyen 51A Kanun Tatacara Jenayah.
Mengikut undang-undang pihak pendakwaan perlu mendedahkan maklumat dan dokumen yang ingin dikemukakan dalam kes terhadap orang yang dituduh, sebelum perbicaraan dimulakan.
“Saya menggunakan kuasa sedia ada (mahkamah) untuk memberikan DNAA kepada kedua-dua tertuduh kerana pihak pendakwaan tidak mematuhi Seksyen 51A CPC.
"DNAA tidak menjejaskan pihak pendakwaan kerana kedua-dua tertuduh masih boleh didakwa semula (pada masa hadapan jika pihak pendakwaan mahu berbuat demikian).
"Kes itu didaftarkan pada 2018 namun perbicaraan tidak dapat diteruskan walaupun beberapa penjadualan semula tarikh perbicaraan ditetapkan,” katanya.
Menurutnya, ini adalah suatu kelewatan melampau.
“Permohonan tertuduh pertama (Najib) dan tertuduh kedua (Irwan) dalam notis usul dibenarkan.
"Oleh itu tertuduh pertama dan kedua dilepaskan tanpa dibebaskan (DNAA daripada keenam-enam pertuduhan. Wang jamin dikembalikan kepada penjamin," katanya.
Pada 25 Oktober 2018, Najib dan Irwan mengaku tidak bersalah atas enam tuduhan pecah amanah ke atas harta kerajaan Malaysia berjumlah RM6.6 bilion berkaitan bayaran kepada International Petroleum Investment Company (IPIC).
Mereka didakwa melakukan semua kesalahan itu di Kompleks Kementerian Kewangan di Putrajaya antara 21 Disember 2016 hingga 18 Disember 2017.
Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.
Sementara itu, Bernama melaporkan peguam Muhammad Shafee Abdullah dan K Kumaraendran, masing-masing mewakili Najib dan Irwan memohon agar anak guam mereka dilepas tanpa dibebaskan.
Shafee dan Kumaraendran berhujah mahkamah boleh menggunakan kuasa sedia ada untuk memerintahkan perintah DNAA (lepas tanpa bebas) walaupun tiada permohonan dibuat oleh pihak pendakwaan atas alasan pendakwaan masih gagal menyerahkan dokumen yang dimohon pembelaan.
"Kes ini telah berlarutan terlalu lama, sudah enam tahun, saya harap Yang Arif akan buat satu keputusan mengenainya hari ini," said Kumaraendran.
Isnin lepas Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Muhammad Saifuddin Hashim Musaimi berkata pihak pendakwaan tidak mempunyai kawalan terhadap dokumen sulit yang akan dinyahklasifikasi sebelum digunakan dalam perbicaraan itu kerana ia tertakluk kepada agensi yang mempunyai dokumen tersebut.
Dokumen itu melibatkan dokumen mesyuarat Kabinet, Kementerian Kewangan, Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) dan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (kini Agensi Pengangkutan Awam Darat) di bawah Jabatan Pengangkutan Jalan.
Perbicaraan kes itu telah ditangguhkan empat kali pada tahun ini iaitu pada 4 dan 19 Jun, 22 Julai dan 25 Nov, untuk memberi masa kepada pihak pendakwaan menyahklasifikasikan dokumen sulit sebelum diserahkan kepada pihak pembelaan.
Ini merupakan permohonan kedua Najib dan ketiga bagi Mohd Irwan Serigar untuk mereka dilepaskan tanpa dibebaskan daripada enam pertuduhan itu manakala Najib telah membuat permohonan untuk penangguhan kekal prosiding perbicaraan kes itu pada 25 Nov, namun ditolak oleh mahkamah.
Bagi pertuduhan pertama, Najib, 71, dan Mohd Irwan Serigar, 67, didakwa bersama-sama sebagai seorang penjawat awam iaitu Menteri Kewangan dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Kementerian Kewangan Malaysia, masing-masing dalam kapasiti tersebut, diamanahkan dengan penguasaan ke atas harta itu iaitu sejumlah RM1.2 billion milik kerajaan Malaysia, telah melakukan pecah amanah jenayah ke atas harta berkenaan.
Mengikut pertuduhan kedua, Najib dan Irwan Serigar didakwa bersama-sama atas jawatan sama yang diamanahkan dengan harta sejumlah RM655 juta milik Kerajaan Malaysia, telah melakukan pecah amanah jenayah ke atas harta tersebut.
Bagi pertuduhan ketiga, mereka didakwa bersama-sama atas jawatan serupa melakukan pecah amanah iaitu sejumlah RM220 juta, peruntukan di bawah “Belanja Mengurus di bawah Maksud B11 Perkhidmatan Am Perbendaharaan, Aktiviti 021700 KL International Airport Berhad (KLIAB)”, milik Kerajaan Malaysia.
Bagi pertuduhan keempat, kedua-dua tertuduh juga didakwa bersama-sama atas jawatan sama melakukan pecah amanah sejumlah RM1.3 bilion, peruntukan di bawah “Maksud B11 Perkhidmatan Am Perbendaharaan, Aktiviti 020500 Subsidi Dan Bantuan Tunai”, milik Kerajaan Malaysia.
Bagi pertuduhan kelima dan keenam, Najib dan Mohd Irwan Serigar didakwa bersama-sama atas jawatan serupa melakukan pecah amanah sejumlah CNY1,950,000,000 (bernilai RM1,261,065,000) dan RM2 bilion milik Kerajaan Malaysia.
Mereka dituduh melakukan kesemua kesalahan itu di Kompleks Kementerian Kewangan Malaysia, Wilayah Persekutuan Putrajaya pada 21 Dis 2016 bagi pertuduhan pertama dan kedua, pada 3 Ogos 2017 pertuduhan ketiga manakala pertuduhan keempat hingga keenam pada 10 Ogos 2017, 23 Ogos 2017 dan 18 Dis 2017 .
Mereka didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.
Sementara itu Mohd Irwan Serigar ketika ditemui pemberita di perkarangan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur berkata beliau bersyukur selepas enam tahun dua bulan, kes yang dihadapinya selesai.
“Alhamdulillah mahkamah membuat keputusan yang tepat. Saya yakin tiada kes terhadap saya kerana semua dilakukan mengikut prosedur kerajaan. Semoga saya dapat pergi mengerjakan umrah selepas ini,” katanya.
Kumaraendran pula berkata beliau gembira dengan keputusan hari ini dan berharap pihak pendakwaan tidak meneruskan kes tersebut.
“Ini adalah keputusan tepat kerana anak guam saya menderita selama enam tahun untuk menunggu perbicaraan kes ini dan akhirnya kes ini selesai,” kata peguam itu.