Angkatan Tentera Malaysia membuang lima kadet Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) dan mengenakan denda keseluruhan sebanyak RM189,240 terhadap mereka sebagai pampasan atas kesalahan buli yang dilakukan dalam tiga kes berasingan.
Mereka termasuk seorang kadet yang mendera seorang pelatih lain dengan seterika panas pada bulan lalu.
Dalam kenyataan hari ini, Menteri Pertahanan Mohamed Khaled Nordin berkata ia diputuskan dalam mesyuarat Majlis Angkatan Tentera semalam.
Dalam kes buli menggunakan seterika panas, Amirul Iskandar Ahmad Norhanizan diarahkan membayar RM44,600 kepada kerajaan sebagai pampasan.Dia kini sedang dibicarakan di mahkamah berhubung kes itu, melibatkan mangsa Muhammad Salman Mohd Saiful Surash.
Dua kes lain yang dikenakan tindakan oleh Majlis Angkatan Tentera tidak dilaporkan di media.
Kes-kes lain
Dalam satu kes lain yang masih dalam siasatan, Izzat Izuddin Mohammad Arif telah mengarahkan "hukuman pembetulan" terhadap Alief Ahsreihan Ahslemy, yang melanggar peraturan.
Muhammad Hidayat Haqimi Mohd Yuslan turut melakukan hukuman itu, antaranya melibatkan hukuman fizikal serta memaksa Alief Ahsreihan menjalankan kerja peribadi untuknya.
Ku Muhammad Irfan Ku Zaimi juga telah membuli Alief Ahsreihan secara fizikal serta mengasingkannya, yang menyebabkan tekanan emosi kepada mangsa.
Ketiga-tiga mereka diarahkan membayar pampasan kepada kerajaan, masing-masing sebanyak RM48,452, RM19,481, dan RM44,600.
Khaled berkata kes buli terhadap Alief Ahsreihan terbongkar selepas seorang pensyarah UPNM membuat aduan.
Dalam kes ketiga, Ammar Hafiy Muhammad Habib telah mendera kadet Yeong Kian Rui secara fizikal.
Penderaan itu menyebabkan mangsa mengalami kecederaan tisu lembut pada bahagian bawah belakang badan.
Kes ini terbongkar selepas mangsa mendapatkan rawatan perubatan.
Majlis Angkatan Tentera belum membincangkan kes melibatkan Mohd Adil Mat Awang Ghani, yang dituduh memijak Muhammad Haziq Iqbal Ahmad Rashid dengan but bertaji sehingga menyebabkan kecederaan serius.
Khaled dalam kenyataan hari ini menegaskan kementeriannyatidak akan berkompromi dengan sebarang bentuk penganiayaan di institusi ketenteraan.
“Kementerian Pertahanan memberi komitmen untuk memastikan sebarang tindakan yang bertentangan dengan etika dan peraturan yang telah ditetapkan akan ditangani dengan tegas dan keras,” katanya.