Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Vaksin Covid-19: Lapan warga M'sia saman Anwar, WHO RM60 juta

Sejumlah lapan warga Malaysia memfailkan saman berjumlah RM60 juta terhadap Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) atas dakwaan komplikasi kesihatan dan kematian yang disebabkan oleh vaksinasi Covid-19.

Writ saman itu menyasarkan sejumlah 25 defendan, termasuk bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin dan Ismail Sabri Yaakob, Kementerian Kesihatan, kerajaan, serta Ketua Pengarah WHO Tedros Adhanom Ghebreyesus.

Defendan lain termasuk Menteri Kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad serta menteri sebelumnya Dr Adham Baba dan Khairy Jamaluddin, Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail dan menteri sebelumnya Hamzah Zainudin, Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek dan menteri sebelumnya Dr Mohd Radzi Md Jidin, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Dr Zaliha Mustafa, serta bekas Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.

Menurut kertas kausa yang dilihat oleh Malaysiakini, lapan plaintif tersebut mendakwa mengalami kesan akibat arahan kerajaan untuk vaksinasi wajib semasa kemuncak penularan wabak Covid-19 empat tahun lalu.

Antaranya ialah seorang penduduk Muar yang mendakwa bapanya meninggal dunia selepas menerima dua dos vaksin Sinovac dan satu dos penggalak Pfizer.

Seorang plaintif lain ialah seorang pekerja pembersihan rumput yang mendakwa mengalami strok, kesukaran bercakap, dan masalah untuk berjalan seperti biasa sehinggamemerlukan tongkat selepas mematuhi arahan kerajaan untuk menerima dua dos vaksin Pfizer.

Seorang lagi plaintif ialah seorang tukang urut wanita yang sebelum itu sihat tetapi mendakwa mengalami muntah dan sakit kepala yang kronik, serta seluruh badan mengalami kesakitan dan terketar selepas menerima satu dos vaksin Pfizer. Dia kini perlu menggunakan kerusi roda.

Saman itu turut melibatkan seorang pekerja sebuah syarikat pengurusan amanah yang mendakwa diarahkan mengambil cuti tanpa gaji atau meletakkan jawatan secara sukarela kerana enggan mengambil vaksin.

‘Senjata biologi’

Selain pampasan wang, lapan plaintif itu menuntut beberapa pengisytiharan daripada mahkamah, termasuk bahawa Covid-19 adalah "palsu, wabak senjata biologi ciptaan manusia yang dibuat untuk menyerupai seasonal flu”.

Mereka juga menuntut mahkamah mengisytiharkan bahawa “koronavirus semula jadi virus yang tidak pernah dapat dibuktikan” oleh Kementerian Kesihatan dan WHO yang menurut mereka gagal menjalankan proses pengasingan mengikut piawaian perubatan.

Plaintif juga menuntut pengisytiharan dan writ certiorari atau larangan terhadap Anwar, Kementerian Kesihatan dan kerajaan menghentikan suntikan "vaksin eksperimental beracun," serta membatalkan semua jenis dan bentuk program seperti Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (Pick) serta-merta.

Mereka juga menuntut perintah mahkamah agar Anwar dan kerajaan menarik diri daripada menjadi anggota WHO dan Forum Ekonomi Dunia (WEF), yang didakwa sebagai "penjenayah terancang yang bersekongkol untuk merampas kedaulatan negara-negara anggotanya termasuk Malaysia”.

Selain itu, mereka menuntut pengisytiharan bahawa penggunaan rawatan awal dan/atau alternatif dan/atau konvensional seperti ivermectin, hydroxychloroquine, favipiravir, kortikosteroid, colchicine, dan ubat lain yang serupa tanpa mengambil "vaksin eksperimental beracun" seharusnya dibenarkan untuk merawat pesakit Covid-19.

Dua hari lalu di Mahkamah Tinggi, Jabatan Peguam Negara telah memfailkan memorandum kehadiran bagi pihak Anwar, bekas perdana menteri, sejumlah menteri dan bekas menteri, serta kerajaan sebagai respons terhadap saman tindakan tersebut.

Mahkamah menetapkan 17 Februari tahun depan untuk pengurusan kes.

Peguam plaintif dari firma guaman Tetuan Mohamad Zainuddin & Co telah tindakan sivil ini pada 23 Oktober lalu.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS