Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PH Wilayah Persekutuan cadang Akta Ibukota dipinda, tingkat ketelusan DBKL

PH Wilayah Persekutuan mencadangkan agar Akta Ibukota Persekutuan 1960 (Akta 190) dipinda bagi memperkasakan aspek tatakelola dan ketelusan dalam Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Pengerusi PKR Wilayah Persekutuan Azman Abidin berkata cadangan itu dibincang dan diputuskan dalam mesyuarat PH Wilayah Persekutuan semalam.

“Kita percaya pindaan akan menjadikan akta ini lebih inklusif dengan yang melibatkan ahli-ahli Parlimen di Wilayah Persekutuan," katanya kepada Malaysiakini.

Azman berkata cadangan itu akan dibawa kepada Menteri Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustapa.

Azman Abidin

Dia sebelum ini bertangunggjawab membantu Perdana Menteri Anwar Ibrahim dalam hal-hal berkaitan wilayah persekutuan sebelum portfolio itu dikembalikan dan kini dipegang Dr Zaliha Mustafa.

Pada Disember tahun lalu, Azman yang juga setiausaha politik Anwar sebelum ini pernah mencadangkan ahli lembaga penasihat DBKL perlu diberi kuasa eksekutif untuk membuat keputusan, alternatif kepada pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT) dan menjadi semak dan imbang dalam soal pentadbiran Kuala Lumpur.

Ahli lembaga penasihat merupakan lembaga berfungsi memberi nasihat kepada datuk bandar mengenai pentadbiran Kuala Lumpur.

Dia juga pernah mencadangkan selain 12 ahli lembaga sedia ada, setiap ahli Parlimen di Kuala Lumpur - kerajaan dan juga pembangkang - diberi kuasa untuk melantik seorang ahli bagi mewakili kawasan mereka.

Dia berkata langkah itu boleh dilaksanakan dengan meminda Akta Ibu Kota Persekutuan 1960 yang tidak memerlukan sokongan majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS