mk-logo
Berita

Akibat kerap ditimpa musibah banjir, penduduk Kampung Sungai Serai di Hulu Langat memohon Menteri Besar Selangor Amirudin Shari membantu membina masjid baru.

Ahli Jawatankuasa Pembinaan Masjid Al-Ehsan Kampung Sungai Serai, Batu 11, Hulu Langat Selangor berkata kerajaan negeri diminta segera mempertimbangkan permohonan itu.

“Bencana banjir yang berlaku beberapa kali setiap tahun semakin banyak meninggalkan kerosakan seperti karpet, peralatan elektrik, perabot, bahan bacaan kelengkapan solat dan setiap kali dibuat penggantian baru selepas banjir.

“Fizikal masjid juga turut semakin uzur disebabkan banjir yang memberi kesan kepada pelaksanaan program-program pengimarahan yang dirancang oleh pihak masjid.

Gambar fail, Menteri Besar Selangor Amirudin Shari.

“Kos yang terlibat bagi menanggung kerosakan ini semakin besar dari semasa ke semasa.

“Bilangan ahli kariah masjid juga semakin bertambah di mana wujudnya taman perumahan berhampiran dan di lot-lot persendirian," katanya melalui surat kepada menteri besar yang dilihat Malaysiakini.

Surat itu ditandatangani nazir Masjid Al Ehsan Abd Aziz Ahmad, setiausaha masjid Ab Samad Ab Lajid dan bendahari masjid Mustafa Yufof.

Dalam surat itu juga, pihak jawatankuasa mendakwa walaupun masjid sekarang dibina di atas tanah wakaf namun terdapat waris yang menuntut pusaka.

Ini juga menjadi antara punca kenapa masjid baru perlu segera dibina, kata surat itu lagi.

Dalam perkembangan berkaitan, pengerusi penaja pembinaan masjid baru Abd Aziz Ahmad ketika dihubungi Malaysiakini menjelaskan tapak baru masjid itu dirancang dibina di atas sebidang tanah yang lebih tinggi bagi mengelakkan masalah berulang dinaiki air apabila hujan lebat.

"Tanah tu sudah dapat pada 2018 (melalui permohonan kepada Jabatan Agama Islam Selangor).

"Sekarang bajet pembinaan masjid dah lulus dalam RMK12.

"(Sedang) tunggu pembinaan dari 2018 sehingga kini 2024 masih tak buat-buat.

"Janji nak tender pada tahun 2022," katanya melalui pesanan ringkas.

Malaysiakini sedang menghubungi Pejabat Menteri Besar Selangor bagi mendapatkan maklum balas lanjut mengenai isu ini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS