Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Enam ditahan disyaki curi Ferrari di pusat cuci kereta

Polis menahan enam individu termasuk seorang wanita dipercayai terlibat dalam kes kecurian sebuah kereta mewah jenis Ferrari, yang dilaporkan hilang 17 Nov di sebuah pusat cuci kereta di Hulu Kelang.

Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata tangkapan terhadap lima warga tempatan dan seorang warganegara asing itu, dilakukan secara berasingan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya.

Beliau berkata susulan tangkapan itu polis turut merampas empat buah kereta iaitu Ferrari, Naza Suria dan dua kereta jenis BMW.

“Turut dirampas lapan telefon bimbit, dua batang anak kunci termasuk Ferrari, beg silang, passport Malaysia, tali lanyard bersambung pisau berhulu.

“Selain itu, tiga alat kawalan jauh kereta, kad akses rumah dan sebungkus plastik lutsinar tertera tulisan 'diamond'," katanya dalam satu kenyataan semalam.

Hussein berkata daripada kesemua suspek berusia antara 23 hingga 40 tahun itu hanya seorang yang mempunyai dua rekod jenayah dadah dan didapati positif dadah jenis methamphetamine dan amphetamime, ketika ujian saringan dilakukan manakala selebihnya tidak mempunyai sebarang rekod.

Beliau berkata sebanyak tiga suspek telah dijamin dan dua suspek direman sehingga esok manakala seorang sehingga 3 Dis.

“Siasatan lanjut masih dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah IPD Ampang Jaya dan tindakan mengesan rakan sejenayah yang lain masih diteruskan," katanya.

Kes disiasat di bawah seksyen 379A Kanun Keseksaan.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS