WAWANCARA | Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Muhyiddin Yassin menjawab soalan berkaitan gabungan itu, khususnya PAS yang sering dituduh menimbulkan kebencian dan memecahbelahkan hubungan antara kaum.
Melalui temu bual eksklusif bersama Malaysiakini, bekas perdana menteri menjelaskan bagaimana PN berhasrat meyakinkan pengundi bukan Islam untuk menyokong gabungan pembangkang tersebut.
Muhyiddin berhujah peranan PAS yang sederhana ketika menjadi sebahagian pentadbirannya selama 17 bulan, bermula 1 Mac 2020 ke 16 Ogos 2021.
Berikut beberapa soalan dan jawapan wawancara itu:
Malaysiakini: Bagaimana anda mengatasi ketakutan ini?
Muhyiddin: Ini bukan perkara baru. Persoalan ini telah dibangkitkan banyak kali...saya akui. (Ada) cara berbeza menilai parti, terutamanya ahli-ahli PN. Bersatu begini, PAS begitu dan kita ada Gerakan. Tetapi apalah.
Jika anda bertanya soalan itu kepada saya, saya akan bertanya kembali, "anda lupakah kami pernah berada dalam kerajaan?" Saya mengetuai kerajaan itu. Dalam waktu sukar, semasa pandemik Covid-19. Kami terpaksa segera mencari penyelesaian bagaimana menguruskan Covid, jika tidak ramai yang akan mati.
Siapakah mereka dalam kerajaan itu? Saya bertanya kepada anda. PAS ada di situ, bukan? MCA ada, MIC pun ada. Apa yang kami lakukan? Kami melakukan apa yang perlu. Pernahkah anda dengar pada masa itu PAS bercakap tentang 'potong kaki, potong tangan, potong kepala'?
"Apa yang saya cuba katakan ialah, soalan itu tidak dapat dielakkan. Kerana kewujudan PAS sudah lebih tujuh dekad. Itulah kekuatan mereka dalam berinteraksi dengan orang Melayu-Islam.
Kini pemimpin PAS bukan dari Kaherah atau Jordan. Mereka berasal dari negara Eropah dan universiti-universiti.
Menteri Besar Terengganu (Ahmad Samsuri Mokhtar) seorang jurutera aeroangkasa dari sebuah universiti di Amerika Syarikat. Itulah profil sebenar pemimpin PAS.
Ini bermakna, mereka juga memahami mereka perlu bergerak ke hadapan. Untuk bersifat nasional.
Untuk berada dalam kerajaan persekutuan, bukan soal bercakap tentang 'hukum-hukum'. Bahkan orang Islam sendiri sekarang tak suka sangat. Orang Islam tahu apa halal haram. Orang bukan Islam di Malaysia juga tahu perkara itu. Mereka menghormati orang Islam, dan kami (orang Islam) menghormati orang bukan Islam. Tetapi sudah tentu anda tidak boleh mengelak daripada kenyataan sesetengah individu dan itu bukan pendirian parti.
Ada kenyataan yang dibuat dan beberapa pemimpin PAS akan mengatakan ia bukan pendirian parti. Itu pandangan peribadi.
Malaysiakini: Tapi kebanyakan kenyataan datang daripada Presiden PAS Abdul Hadi Awang sendiri?
Muhyiddin: Bergantung kepada isu apa? Anda perlu melihatnya dalam konteks yang lebih luas. Dia membangkitkan isu-isu Islam, dan dia akan memetik hadis, al-Quran, sejarah Islam. Ada perkara tertentu yang sah. Menjadi bukan Muslim, dan maaf saya katakan, kadangkala anda (penemubual) salah tafsir.
Saya rasa apa yang berlaku sekarang, selepas memimpin PN bertahun-tahun dan bertemu secara tetap, saya memahami bahawa untuk maju ke hadapan memerlukan pemahaman tentang latar belakang pelbagai etnik dan agama di Malaysia. Hormati orang lain dan dalam kes tertentu apabila anda sangat percaya pada sesuatu isu berkaitan Islam, itu juga perlu dijelaskan dengan baik.
Saya seorang Muslim. Bapa saya seorang guru agama. Tetapi anda tidak melihat saya ke arah yang memecah belah kerana saya faham. Saya telah melalui lebih lima dekad dalam politik. Saya tahu apa yang rakyat mahukan.
Jadi, apa yang saya cuba sampaikan, bergerak ke hadapan, seperti yang telah kami tunjukkan semasa kami berada dalam kerajaan, ia bukan seperti yang anda fikirkan. Adakah kami (PN) akan adil kepada semua kaum? Kami satu-satunya parti pada masa itu...
(Presiden MCA) Wee Ka Siong menteri pengangkutan saya. Pada hari terakhir sebelum saya menyerahkan peletakan jawatan, saya memanggil mesyuarat kabinet khas. Saya memberikan peluang kepada semua anggota untuk bercakap, dan satu perkara yang saya tidak akan lupa sehingga kini ialah Ka Siong berkata, 'Tuan, kabinet anda yang saya sertai sekarang, walaupun hanya sekejap namun satu-satunya yang tidak membincangkan isu perkauman.'
Kita tak bincang soal Melayu, kita tak bincang soal Cina, India dan lain-lain. Kita bincang soal semua. Kebetulan, pada masa itu kita berdepan dnegan pandemik.
Kami bukan hanya membantu orang Melayu saja untuk hidup dan membiarkan yang lain mati, tidak! Kami menyediakan vaksin untuk semua, kami meletakkan makanan ke meja semua orang.
Saya mesti katakan, itulah yang PN perjuangkan. Apabila anda mentadbir sebagai kerajaan, anda mempunyai tanggungjawab. Anda mempunyai undang-undang dan perlembagaan. Jika anda ingin mengubah undang-undang mengikut apa yang anda fikirkan betul, anda perlu ke parlimen. Di parlimen, anda bukan satu-satunya. Ada orang Melayu, Cina, India yang akan berdebat. Sudah ada mekanisme perlindungan dan perlindungan utama itu perlembagaan.
Jika anda memahami itu, itulah yang PN perjuangkan. Kami menegakkan perlembagaan. Kami mempertahankan hak setiap individu. Hak bersuara, kebebasan akhbar, hak orang Melayu, bukan Melayu, semuanya ada di situ.
Malaysiakini: Sebagai pemerhati luar, mengenai PAS ketika berada dalam kerajaan dan di luar kerajaan, semasa dalam kerajaan, parti itu kelihatan cemerlang - tenang, inklusif - tetapi banyak isu timbul apabila mereka tidak berada dalam kerajaan. Pandangan anda?
Muhyiddin: Biasalah. Sesiapa pun di luar kerajaan dia tidak ada rasa panduan daripada dasar-dasar tertentu kerajaan tersebut.
Mari kita lihat fakta di lapangan. Empat negeri di utara - Kedah, Perlis, Kelantan, Terengganu - semuanya dipimpin oleh PN. Semua menteri besar dari PAS, tetapi kami juga berada dalam kerajaan sebagai timbalan, ahli majlis mesyuarat kerajaan negeri.
Apa yang berlaku di sana? Saya akan katakan, selama bertahun-tahun saya bersama mereka, saya tidak nampak apa-apa yang memudaratkan kaum India, sebagai contoh. Jika anda (seorang India) tinggal di Kelantan… Saya ada seorang kawan baik, kebetulan dia satu-satunya orang India di kawasan itu di Terengganu, mereka sangat gembira. Mereka tidak merasa disisihkan, tidak dilayan dengan buruk. Inilah realitinya.
BACA BERKAITAN
WAWANCARA BAHAGIAN 1: 'Poster boy' PN: Majlis tertinggi putuskan calon PM - Muhyiddin
Jadi apa yang digambarkan oleh individu-individu yang tidak mewakili parti tidak boleh dijadikan rujukan untuk apa yang PN perjuangkan. Malah di peringkat persekutuan, kerajaan itu dipimpin oleh PN, bukan kerajaan PAS.
Dalam erti kata lain, ini proses untuk lebih memahami apa itu Malaysia. Walaupun kami mengamalkan latar belakang agama yang sangat kukuh, itu tidak bermakna kami harus berkompromi (dengan nilai Malaysia) hingga mengabaikan yang lain. Itu pendirian saya.
Malaysiakini: Dalam kerajaan yang anda pimpin sebagai perdana menteri, Bersatu dan anda dilihat sebagai kekuatan penyeimbang. Tetapi sejak itu, kepada pemerhati biasa, Bersatu dilihat seakan disisihkan. Begitu juga anda manakala PAS pula seolah-olah menguasai naratif. Pandangan anda?
Muhyiddin: Tidak sepenuhnya tepat. Di mana kami disisihkan? Pertama, siapa yang memimpin gabungan itu? Mereka mencalonkan saya dahulu, saya tidak bercakap tentang masa depan. 'Anda harus menjadi poster boy'. Jadi saya mengambil kedudukan itu sehingga kini.
Kedua, dalam banyak perkara, kami mempunyai peluang, contohnya di parlimen. Kami mempunyai ahli parlimen daripada Bersatu dan PAS...Kami memastikan semua pihak mendapat hak bersuara yang adil. Secara literal, kami mengatur giliran.
Secara literal, kami atur, 'Bersatu, PAS, Bersatu, PAS'...Ini lebih baik daripada sebelumnya, jadi suara daripada kedua-dua pihak didengar.
Mengenai pelantikan ketua pembangkang. Saya mesti katakan, kami berbincang ketika sesi parlimen baru bermula… Saya sangat terbuka, ia mesti dari PAS! Tetapi apa kata PAS? 'Tidak, tidak, anda Tan Sri!' Jadi saya berkata, 'baiklah' jika begitu, saya tidak mahu menjadi ketua pembangkang, jadi saya melantik Hamzah. Dan itulah yang berlaku sehingga hari ini. Jadi apa yang disisihkan? Itulah realitinya.
Semua orang bebas bercakap tentang apa sahaja. Tetapi sudah tentu ia mengenai apa yang dilihat. Apabila anda berada dalam pembangkang, kadang-kadang pada tahap-tahap tertentu anda perlu memastikan apa yang perlu dikatakan atau dilakukan...
Malaysiakini: Apa isu yang PAS suarakan tapi Bersatu tak bercakap?
Muhyiddin: Kami bercakap perkara yang sama! Mengenai kos sara hidup dan isu lain. Kami mempunyai portfolio yang berfungsi seperti kabinet bayangan.
Seperti yang saya katakan, apa yang dilihat misalnya, dalam media...dalam hal ini kami faham, jadi kami perlu menguruskan media sosial kami. Saya tidak merungut, tetapi kami tidak memiliki (kawalan ke atas) akhbar, radio, (saluran) televisyen kerana kami bukan kerajaan. Apa maksudnya? Kami sedar ada bidang tertentu yang perlu kami perkuatkan. Media sosial sudah tentu salah satunya dan itu sedang dibina sekarang.
Saya tidak boleh mengatakan kami telah mencapainya, tetapi sekurang-kurangnya kami tahu kelemahan kami dan apa yang perlu dibuat.