Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Apa Akmal dah buat untuk Melaka, soal Tiong
Diterbitkan:  Nov 26, 2024 11:22 PM
Dikemaskini: 3:22 PM

Menteri Pelancongan, Seni, dan Budaya, Tiong King Sing, membalas kritikan terhadap pandangannya bahawa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) perlu menerima papan tanda pelbagai bahasa yang dipaparkan oleh premis perniagaan.

Dalam kenyataannya hari ini, Tiong mempersoalkan apa yang telah dilakukan oleh Ketua Pemuda Umno, Akmal Saleh untuk Melaka selaku Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Kerterjaminan Makanan.

“Untuk Akmal, saya ingin tahu apa yang telah beliau lakukan untuk Melaka sebagai Exco. Jangan terus mencetuskan isu perkauman seperti yang berlaku dalam pilihan raya kecil baru-baru ini,” katanya.

Tiong menegaskan bahawa kenyataan dikeluarkan Akmal hanya memalukan Umno dan boleh menimbulkan ketegangan antara rakyat, seterusnya menjejaskan kestabilan politik dan pembangunan negara.

Sebagai pemimpin, katanya, tanggungjawab utama adalah untuk membina perpaduan dan mencari penyelesaian, bukannya menimbulkan isu perkauman yang tidak memberi manfaat.

Tiong turut mempersoalkan sumbangan Mas Ermieyati Samsudin semasa menjadi timbalan menteri di kemeteriannya dari 2015 hingga 2018 dalam menarik kedatangan pelancong asing.

Tiong menegaskan usaha kementeriannya adalah untuk membantu peniaga kecil, terutama penjaja jalanan agar dapat meningkatkan pendapatan dan memperbaiki kehidupan keluarga mereka.

“Saya tak perlu beri jawapan, dia (Mas Ermieyati) boleh tanya diri sendiri.

“Kita bekerja keras untuk membantu perniagaan kecil terutama yang berada di tepi jalan, tingkatkan perniagaan mereka dan berikan kehidupan yang lebih baik kepada keluarga mereka.

“Apa salahnya beri ruang kepada peniaga tempatan untuk mengembangkan dan menggalakkan kedatangan pelancong?" soalnya.

Berhubung operasi besar-besaran DBKL yang menyasarkan papan tanda yang tidak mengutamakan bahasa Melayu, Tiong berkata tindakan itu boleh mencetuskan persoalan daripada pelancong asing mengenai sama ada Malaysia adalah negara yang ekstrem dari segi agama atau perkauman.

Dia turut menyeru DBKL agar menggambarkan semangat kosmopolitan ibu negara, terutama apabila Malaysia akan mempengerusikan ASEAN tahun depan dan menjadi tuan rumah Kempen Melawat Malaysia 2026.

Menurut Tiong, papan tanda pelbagai bahasa bukan sahaja mencerminkan warisan budaya pelbagai kaum di Malaysia, tetapi juga menjadi kelebihan ekonomi bagi negara ini.

“Kepelbagaian budaya bukan kelemahan tetapi kekuatan daya saing.

“Dengan menolak pemikiran sempit dan mengelak terlalu menekankan isu perkauman dan agama, Malaysia boleh mencipta masa depan yang lebih cerah, menyatukan rakyatnya, dan maju bersama sebagai sebuah negara,” jelasnya.

[Baca berita penuh]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS