Mara Incorporated Sdn Bhd membayar lebih untuk tiga hartanah di Australia dan United Kingdom pada 2013 dan 2014, meskipun Kementerian Kewangan (MoF) telah menolak permohonan untuk membeli hartanah tersebut, menurut Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC)
Pembelian tersebut hanya diluluskan selepas Mara Inc membuat rayuan kepada Majlis Ekonomi, yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri ketika itu, Najib Razak, yang juga merupakan Menteri Kewangan.
Hartanah tersebut adalah asrama pelajar Dudley International House, 51 Queen Street, dan 333 Exhibition Street, kedua-duanya terletak di Melbourne yang dibeli pada 2013.
Menurut PAC, Mara Inc membayar RM72.64 juta untuk hartanah tersebut tetapi kini nilainya hanya RM47.45 juta.
Pada 2014, Mara Inc membeli Beaumont House di London dengan harga RM78.53 juta, tetapi kini hanya bernilai RM74.1 juta, berdasarkan laporan PAC yang dikeluarkan hari ini.
Keputusan di peringkat lebih tinggi
Ketua Pengarah Mara, Azhar Abdul Manaf, berkata keputusan Majlis Ekonomi dibuat selepas Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah - yang menyelia Majlis Amanah Rakyat (Mara) - merayu penolakan MOF.
Mara Incorporated ialah anak syarikat Mara, sebuah badan berkanun yang ditubuhkan untuk memperkasakan ekonomi Bumiputera.
"Proses itu berjalan ikut proses. Mula-mula di peringkat MARA Inc berlaku, ada board (lembaga) dia.
“Kemudian bawa kepada ICM (Mesyuarat Jawatankuasa Pelaburan), bawa kepada Majlis dan dibawa kepada kementerian dan kementerian bawa kepada MOF.
"Dalam proses itu — saya nak check dengan pegawai saya. MOF masa itu tak beri pertimbangan dan benda itu kementerian buat rayuan dibawa kepada EC (Majlis Ekonomi). Benda itu dibentang kepada EC. Maksudnya proses berjalan. Cuma kelulusan itu bukan di peringkat Mara tapi di peringkat lebih atas lagi," katanya.
Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah ketika pembelian hartanah tersebut ialah Shafie Apdal.
Pada 2021, bekas pengerusi Mara Inc, Mohammad Lan Allani, mengaku tidak bersalah atas 22 tuduhan rasuah berjumlah RM20.45 juta berkaitan pembelian hartanah di Australia.
Ini susulan siasatan oleh akhbar Australia The Age yang mendedahkan kumpulan pegawai Malaysia yang kaya raya terlebih bayar sebanyak 4.75 juta dolar Australia (RM13.8 juta), dengan perbezaan itu dibayar sebagai wang suapan.
Pinjaman daripada Abu Dhabi National Bank
Semasa prosiding, Pengerusi PAC Mas Ermieyati Samsudin bertanya sama ada MOF telah menjalankan semak dan imbangan terhadap nilai bangunan sebelum pembelian dibuat.
Ketika menyoal Penolong Setiausaha Kanan MOF, Farithal Sahari, Mas Ermieyati bertanya jika keputusan itu dibuat untuk menguntungkan pihak berkepentingan.
“Nilaian hartanah semasa pembelian berbanding pada 2022 dengan susut nilai sebanyak dua setengah kali ganda memberi persepsi bahawa ia terlalu mahal pada masa itu dan ada pihak yang mendapat keuntungan daripadanya,” katanya.
Sebagai respons, Farithal membaca minit mesyuarat Majlis Ekonomi yang meluluskan pembelian tersebut.
Dia berkata, minit itu menunjukkan majlis itu bersetuju memindahkan RM100 juta kepada Mara Inc untuk menampung sebahagian pembelian tersebut.
Dia berkata minit itu juga mendedahkan bahawa Mara Inc perlu memohon pinjaman £12 juta Pound Sterling dengan National Bank of Abu Dhabi di London untuk hartanah UK dan mengambil pinjaman A$52 juta dolar dengan Westpac Banking Corporation di Melbourne untuk membeli hartanah di Australia.
Minit Majlis Ekonomi turut menunjukkan bahawa Mara Inc diarah mendapatkan nasihat daripada Bank Negara Malaysia berkenaan kadar pertukaran mata wang asing bagi pembelian tersebut dan syarikat bertujuan khas (SPV) perlu diwujudkan di Labuan untuk urusan tersebut.
‘Pembuat keputusan sudah tiada dalam kerajaan’
Terkejut dengan pendedahan ini, anggota PAC Sim Tze Tzin bertanya beberapa soalan kepada Farithal mengenai keadaan yang membawa kepada campur tangan Majlis Ekonomi.
Berkenaan soalan siapa yang membentangkan pembelian itu kepada Majlis Ekonomi, Farithal menyatakan ia dilakukan oleh Mara Inc.
"Siapa yang pengerusikan EC, pada masa itu?” soal Sim.
"Dia dah tak ada sekarang ini YB,” jawab Farithal.
Majlis Ekonomi pertama kali ditubuhkan oleh Perdana Menteri Abdullah Ahmad Badawi pada Jun 2008, tetapi semasa pentadbiran Najib, ia didakwa menjadi “kabinet ekonomi” yang mengatasi kabinet sebenar.
Pada 2015, Ahli Parlimen Kluang ketika itu, Liew Chin Tong, mendakwa kabinet dijadikan sebagai “rubber stamp” kerana Majlis Ekonomi bermesyuarat pada hari Isnin, dua hari sebelum mesyuarat mingguan kabinet.
Syor PAC
Dalam cadangannya, PAC mengarahkan KKDW, Mara dan anak syarikatnya Mara Inc serta Mara Corporation Sdn Bhd untuk memastikan semua syor pelaburan mematuhi dasar kerajaan.
PAC juga mengesyorkan semua pihak yang terlibat memberi keutamaan kepada pelaburan domestik.
“Cadangan tersebut perlu mendapat kelulusan MOF terlebih dahulu dan keputusan MOF perlu dipatuhi bagi mengelakkan skandal pembelian hartanah tidak berulang,” kata majlis itu.