Ramai beranggapan – atau barangkali juga suatu stigma – bahawa seorang pelajar Melayu sukar untuk bersaing dengan pelajar Cina di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina.
Namun begitu, Ahmad Khidir Ahmad Nazri, 17 berjaya membuktikan sebaliknya.
Pelajar berkenaan baru-baru ini mencuri perhatian apabila dinobatkan sebagai tokoh pelajar cemerlang sempena Majlis Tamat Persekolahan dan Penyampaian Hadiah SMJK Heng Ee 2024, sebuah sekolah aliran Cina di Pulau Pinang.
Dia menerima Anugerah Tokoh Pelajar Cemerlang (Akademik) 2024 setelah meraih tempat pertama dalam kelas dan tingkatan (aliran sastera).
Selain itu, Ahmad Khidir yang memegang jawatan sebagai timbalan ketua pengawas di sekolah tersebut turut dianugerahkan pelajar terbaik dalam mata pelajaran Bahasa Melayu dan Pendidikan Islam.
Bercakap kepada Malaysiakini, Ahmad Khidir berkongsi rahsia kejayaannya iaitu selalu melakukan solat sunat Subuh sebelum ke sekolah dan solat sunat hajat sebelum memulakan pembelajaran.
“Saya juga sentiasa meminta restu ibu dan memastikan guru-guru saya merestui ilmu yang mereka berikan dengan menghormati mereka,” katanya.
‘Beri dan ambil’
Menurut Ahmad Khidir, dia bersyukur kerana usaha kerasnya akhirnya membuahkan hasil.
Apatah lagi, tidak mudah untuk bersaing dengan pelajar Cina, yang rata-ratanya cemerlang dalam akademik.
“Saya memang bertungkus lumus untuk mendapatkan anugerah-anugerah ini dari segi akademik hingga ke kokurikulum, alhamdulillah saya dapat tunjukkan prestasi yang memuaskan,” katanya lagi.
Ahmad Khidir berkata dia membuat jadual belajar, melibatkan diri dalam aktiviti kokurikulum, dan belajar secara berkumpulan bagi membantu pembelajaran.
“Saya dan kawan-kawan saya belajar secara berkumpulan berkonsepkan “beri dan ambil” (give and take) di mana saya akan mengajar untuk subjek sejarah dan bahasa Melayu, mereka akan mengajar saya untuk subjek akaun dan bahasa Cina,” katanya.
Kejutan buat ibu, kekuatan doa
Anak bongsu daripada enam adik-beradik ini berkata dia merupakan satu-satunya anggota keluarga yang dihantar ke sekolah aliran Cina semenjak tadika.
“Ibu percaya, insyaAllah, peluang pekerjaan saya akan lebih banyak (jika dihantar ke SMJK),” tambahnya.
Justeru katanya, anugerah yang diraih merupakan hadiah untuk ibunya, Fudla Yusof, 55.
Malah, Ahmad Khidir berkata dia juga membuat kejutan apabila tidak memberitahu kepada ibunya terlebih dahulu yang dia mendapat anugerah berkenaan.
“Ibu saya tidak tahu mengenai anugerah tokoh pelajar cemerlang. Jadi saya buat kejutan (surprise) buatnya. Dia menangis gembira apabila dijemput naik ke atas pentas oleh pengawas sekolah,” katanya.
Pelajar itu menjelaskan, ibunya menjadi sumber inspirasi untuk mencapai kejayaan dan sentiasa mengingatkan agar tidak mudah berputus asa.
"Walaupun ibu saya tidak berpelajaran tinggi seperti mempunyai ijazah (Degree), dialah yang menjadi inspirasi saya untuk terus maju ke hadapan, buat kesilapan yang boleh mengajar kita nilai kehidupan. Jangan putus asa, dan ingat orang yang kita sayang,” katanya.
Selain usaha keras, Ahmad Khidir juga percaya kejayaannya adalah hasil doa ibu. Malah kata Ahmad Khidir, ibunya juga tidak lupa mendoakan kejayaannya ketika berada di tanah suci Mekah, membuatkan dia merasa mudah menjawab peperiksaan.
"Saya rasa senang sangat semasa menjawab percubaan SPM. Saya rasa bersyukur kerana doa ibu saya dimakbulkan. Ini buatkan saya lebih percaya bahawa ibu bapa ialah akar kepada doa kita,” kata Ahmad Khidir.
Prestasi cemerlang dalam akademik
Ahmad Khidir memperoleh 7A dalam peperiksaan percubaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), termasuk mendapat BM (A+), BI (A), Pendidikan Islam (A+), Sejarah (A-), Matematik (A-), Sains (A), dan Ekonomi (A). Dia turut meraih gred B untuk mata pelajaran Akaun dan bahasa Mandarin.
Ahmad Khidir bercita-cita untuk melanjutkan pelajaran ke program matrikulasi atau asasi di IPTA seperti UUM atau UM dalam bidang pengurusan, seterusnya memperoleh ijazah dan sarjana dalam sumber manusia.
Dia turut menitipkan pesanan kepada calon-calon SPM tahun ini, terutama pelajr Melayu di SMJK agar sentiasa berusaha keras untuk berjaya.
“Jangan pernah berputus asa. Dalam perjalanan untuk mencapai kecemerlangan memang tidak senang.
“Kena usaha 200 peratus sebab bukan senang untuk bersaing dengan kumpulan majoriti (pelajar Cina) secara sihat.
“Tapi buatlah untuk kebaikan diri sendiri. Ingat orang yang memberi sokongan kepada kita. Jangan malas dan disiplin diri itu penting,” katanya kepada Malaysiakini.