Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Tiong King Sing menafikan permohonan maafnya kepada pelancong China adalah berkaitan isu papan tanda.
Sebaliknya, dia berkata ia dibuat berdasarkan pengalaman pelancong China dan Jepun yang tidak menyenangkan ketika mengunjungi negara ini.
"Saya ingin menjelaskan bahawa permohonan maaf yang dibuat kepada rakyat Jepun dan China baru-baru ini adalah berhubung insiden kemalangan serius yang melibatkan pelancong Jepun dan China di negara kita.
"Saya memohon maaf atas kelemahan di pihak kami dalam memastikan keselamatan pelancong, dan bukan sekadar memohon maaf tanpa alasan.
"Saya juga ingin menegaskan bahawa permohonan maaf ini sama sekali tidak berkaitan dengan isu papan tanda," katanya dalam kenyataan hari ini.
Tiong berkata, permohonan maaf itu adalah tanggungjawab negara sebagai tuan rumah untuk memastikan pelancong dapat menikmati percutian mereka dengan selamat dan gembira.
Baru-baru ini, Tiong dalam ucapannya semasa merasmikan China International Travel Mart (CITM) di Shanghai, memohon maaf kepada pelancong China dan berkata kementeriannya menyedari pengalaman tidak menyenangkan mereka ketika melancong di Malaysia.
Dia berkata Perdana Menteri Anwar Ibrahim amat mengambil berat tentang isu itu dan telah mengarahkan pihak berkuasa berkaitan untuk menambah baik langkah keselamatan dan memastikan setiap pelancong di Malaysia akan mendapat pengalaman yang menyenangkan dan tidak dapat dilupakan.
Sebelum ini, pada 26 Okt seorang pelancong Jepun dilaporkan meninggal dunia akibat kecederaan selepas terlibat dalam kemalangan membabitkan bas persiaran dan treler di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS).
Mangsa yang berusia 73 tahun dikejarkan ke wad kecemasan Hospital Kuala Kangsar tetapi gagal diselamatkan.
Sementara dalam satu insiden berasingan pada 18 Sept lalu, dua pelancong dari China terbunuh susulan pokok tumbang yang menghempap kereta yang dinaiki mereka di Pulau Pinang.
Media tempatan melaporkan bahawa kedua-dua mereka - yang merupakan bapa dan anak perempuan - baru sahaja selesai melawat Rumah Agam Peranakan Pinang di George Town.
"Apabila pelancong datang ke Malaysia dengan harapan untuk bercuti, tetapi berakhir dengan tragedi yang tidak diingini, ia sesuatu yang amat menyedihkan bagi mangsa serta ahli keluarga mereka. Kita perlu mengambil langkah serius untuk memastikan perkara seperti ini tidak berulang.
"Jadi, apa sebenarnya yang tidak kena dengan permohonan maaf tersebut?" soalnya.
Sehubungan itu, Tiong menggesa ahli Parlimen Machang Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, ahli Parlimen Masjid Tanah Mas Ermieyati Samsudin dan Ketua Pemuda Umno Dr Muhammad Akmal Saleh untuk membuat kajian yang sewajarnya sebelum mengeluarkan kenyataan.
Dia meminta ketiga-tiga mereka supaya tidak mencetuskan ketegangan perkauman.
"Sebagai pemimpin, tanggungjawab kita adalah untuk membina perpaduan dan mencari penyelesaian kepada masalah, bukan mencetuskan isu perkauman yang tidak membawa faedah,” katanya.
Dia juga meminta mereka supaya tidak menyebabkan ketegangan dalam kalangan rakyat serta menjejaskan momentum perpaduan yang sangat penting untuk kestabilan politik dan kemajuan negara.
Sementara itu, Tiong juga meminta Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) supaya berkomunikasi dengan peniaga secara baik.
"Saya ingin tekankan di sini bahawa perdana menteri, pernah menyatakan bahawa rakyat Malaysia adalah satu keluarga. Jika kita berkomunikasi secara berkesan, mengapa isu papan tanda perlu dipanjangkan hingga mencetuskan ketegangan?
"Saya percaya pihak DBKL boleh berkomunikasi dengan peniaga dengan cara yang lebih baik dan penuh hormat berkenaan isu ini. Kita perlu menjaga keharmonian dan perpaduan dalam kalangan masyarakat, tanpa menimbulkan ketegangan yang tidak diperlukan.
"Semua pihak jangan terus cetus isu perkauman, jejaskan keharmonian rakyat," katanya lagi.