Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pemuda MCA: Jangan marah jika BN letak calon di 13 kerusi Wilayah
Diterbitkan:  Nov 26, 2024 6:05 PM
Dikemaskini: 11:13 AM

Pemuda MCA hari ini mempersoalkan semangat setiakawan DAP dalam kerajaan perpaduan selepas bertegas tidak akan menyerahkan mana-mana kerusi parlimen mereka di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur kepada parti lain.

Timbalan Ketua Pemuda MCA, Mike Chong, berkata sikap ditunjukkan ahli-ahli parlimen DAP itu jelas bercanggah dengan semangat yang sepatutnya ada dalam kerajaan pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

“Ia juga memberi gambaran seolah-olah DAP masih memandang rendah BN serta bekerjasama kerana terpaksa semata-mata untuk kepentingan politik mereka," katanya dalam kenyataan hari ini.

Lebih menyedihkan, kata Chong, DAP kelihatan memperlekehkan pandangan dibuat Pengerusi BN, Ahmad Zahid Hamidi, walaupun ia sekadar bersifat cadangan.

Katanya kenyataan balas DAP itu bukan saja dibuat secara terbuka malah tanpa merujuk kepada pimpinan atasan parti terbabit.

Semalam Malaysiakini melaporkan bagaimana beberapa ahli parlimen DAP bertegas untuk tidak berkompromi untuk menyerahkan kerusi mereka di Kuala Lumpur kepada BN di sebalik kedua-dua pihak berkerjasama dalam kerajaan.

Pandangan itu adalah reaksi mereka terhadap langkah BN mengadakan rundingan pembahagian kerusi bagi menghadapi PRU akan datang. Ia dinyatakan sendiri oleh Ahmad Zahid yang juga timbalan perdana menteri.

Tiada sesiapa sangkal

Menurut Ahmad Zahid, BN menyasarkan lima kerusi untuk ditandingi mereka di Wilayah Persekutuan namun berjanji tidak akan ada pertindihan antara parti dalam kerajaan.

Ahli Parlimen yang memberikan reaksi kepada cadangan Ahmad Zahid itu ialah Naib Pengerusi DAP Kebangsaan Teresa Kok (Seputeh), Penasihat DAP Kebangsaan Tan Kok Wai (Cheras), dan Bendahari Agung DAP Fong Kui Lun (Bukit Bintang).

Wilayah Persekutuan terdiri daripada 13 kerusi parlimen iaitu Kepong, Segambut, Bukit Bintang, Seputeh, Cheras, Batu, Wangsa Maju, Setiawangsa, Bandar Tun Razak, Lembah Pantai, Titiwangsa, Putrajaya dan Labuan.

Daripada jumlah itu, lima diwakili DAP (Kepong, Segambut, Bukit Bintang, Seputeh, dan Cheras) manakala lima yang lain diwakili PKR (Batu, Wangsa Maju, Setiawangsa, Bandar Tun Razak, dan Lembah Pantai).

Baki satu kerusi lain dimenangi oleh BN (Titiwangsa) manakala Labuan diwakili ahli parlimen bebas yang sebelum ini bertanding mewakili Bersatu.

Kerusi Putrajaya pula dimenangi oleh PN.

Dalam PRU ke-15 yang diadakan kira-kira dua tahun lalu MCA - yang mewakili BN - meletakkan calon di Batu, Segambut, Bukit Bintang, Seputeh, Cheras dan Bandar Tun Razak.

Daripada enam kerusi parlimen itu, mereka bertembung dengan DAP di semua kawasan kecuali Batu dan Bandar Tun Razak.

Bagaimanapun tiada seorang pun calon MCA berjaya memenangi salah satu kerusi berkenaan.

Chong berkata apa yang lebih mengecewakan MCA ialah apabila tiada seorang pun pemimpin pusat DAP yang menyangkal kenyataan dibuat ketiga-tiga ahli parlimen terbabit.

Dia yang juga ketua Pemuda MCA Wilayah Persekutuan berkata, sikap yang ditunjukkan itu seolah-olah mereka turut bersetuju dengan pendirian yang diambil oleh ahli-ahli Parlimen DAP Wilayah Persekutuan.

“DAP harus ingat bahawa BN telah membantu dengan ikhlas PH dan juga DAP dalam beberapa pilihan raya kecil sebelum ini demi mengukuhkan kedudukan kerajaan perpaduan.

“BN hanya meminta lima daripada 13 kerusi parlimen di Wilayah Persekutuan.

“Jika DAP masih angkuh, maka jangan marah jika BN mempertimbangkan untuk bertanding di semua 13 kerusi di Wilayah Persekutuan pada PRU ke-16 nanti,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS