Program 'Di Sebalik Kini' merungkai dengan lebih mendalam mengenai laporan eksklusif Malaysiakini membabitkan pekerja asing bertajuk 'Majikan' kaut jutaan ringgit menerusi sindiket ‘A to B’ dan ‘Urus niaga jutaan ringgit dari penipuan permohonan kuota pekerja asing’.
Hos KiniTV Sheha Mohd Amin menemubual wartawan kanan Malaysiakini, B Nantha Kumar dan S Vinothaa berkenaan pengalaman mereka diugut demi menghasilkan laporan berkaitan isu pemerdagangan pekerja asing.
Dalam wawancara itu, S Vinothaa mendedahkan dia pernah diugut, bahkan ketika berada berhampiran sebuah balai polis.
"Ada ugutan depan balai polis. Dia keluar pisau besar,” kata S Vinothaa.
"I dengar (bunyi pisau) cing, cing, cing... dia nak dapatkan perhatian saya, kerana saya tak tengok dia. (Saya) Kat depan balai polis sahaja," katanya.
Mengenai janji Menteri Sumber Manusia, Steven Sim untuk menyenaraihitam “majikan” atau ejen yang terlibat dalam sindiket penyalahgunaan kuota pendatang asing 'A to B', Nantha mahupun Vinothaa berpendapat kerajaan harus mengambil tindakan terhadap pegawai kerajaan, bukan sekadar majikan sahaja.
"Kalau nak ambil tindakan, cari pegawai.
"Pegawai yang saya dakwa dia salah, dia dapat promotion (dinaikan pangkat)," katanya.
Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai pandangan wartawan Malaysiakini dan pengalaman mereka dalam menyelidiki perdagangan pekerja asing, saksikan program Kinitv 'Di Sebalik Kini'.