GLOBAL | Menteri Kebudayaan Indonesia, Fadli Zon, menegaskan keperluan negara itu mendaftarkan rendang dari Sumatera Barat kepada Unesco bagi pengiktirafan global sebagai warisan budaya dunia, lapor agensi berita Antara.
"Rendang adalah antara hidangan kuliner kita (Indonesia) yang sudah terkenal di seluruh dunia.
"Bahkan (cef selebriti Britain) Gordon Ramsay datang ke Sumatera Barat untuk belajar tentang rendang," kata Fadli di Jakarta semalam.
Menurut Fadli, rendang bukan hanya hidangan yang lazat, malah mempunyai nilai budaya yang kaya serta menjadi simbol identiti masakan Indonesia.
Dengan mendaftarkan rendang di Unesco, katanya, diharapkan masakan tersebut dapat dipelihara sambil memperkenalkan kekayaan masakan Indonesia ke pentas antarabangsa.
Selain itu, Fadli berkata dia menganggap pendaftaran rendang sebagai warisan budaya Unesco menjadi langkah strategik untuk meningkatkan sektor pelancongan dan ekonomi Indonesia.
Katanya minat yang semakin meningkat terhadap budaya tempatan, termasuk masakan tradisional, dipercayai akan meningkatkan kunjungan pelancong dan memperkenalkan produk tempatan yang menyokong ekonomi Indonesia.
"Pengiktirafan Unesco terhadap rendang juga akan mengukuhkan kedudukan Indonesia di arena antarabangsa sebagai negara yang memiliki warisan budaya yang kaya dan pelbagai," tambahnya.
Dia juga tidak mengesahkan sama ada rendang akan didaftarkan secara khusus untuk Unesco atau bersama dengan penyerahan warisan budaya lain.
"Kita akan lihat sama ada ini cadangan tunggal atau cadangan bersama (dengan warisan budaya lain)," katanya.
Setakat Nov ini, Unesco menyenaraikan 13 warisan budaya tidak ketara dari Indonesia, termasuk teater boneka wayang, keris senjata tradisional, batik kain tradisional serta alat muzik tradisional angklung dan gamelan.
- Bernama/Antara