Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Pemimpin PN hanya main isu papan tanda lepas jadi pembangkang'
Diterbitkan:  Nov 26, 2024 3:42 PM
Dikemaskini: 7:42 AM

Pemuda DAP telah mengecam pemimpin Perikatan Nasional (PN) yang disifatkan hanya membangkitkan isu papan tanda dalam bahasa lain setelah menjadi pembangkang.

Mempertahankan keperluan untuk papan tanda berbilang bahasa, Ketua Pemuda DAP Woo Kah Leong berkata Malaysia adalah sebuah negara berbilang kaum yang mengalu-alukan orang ramai daripada semua lapisan masyarakat.

Dia berkata papan tanda seperti itu boleh menunjukkan keunikan dan daya tarikan negara.

"Papan tanda dalam pelbagai bahasa bukan asing lagi di Malaysia dan juga berlaku ketika rejim PN memerintah dari tahun 2020 hingga tahun 2022, dan kenapa hanya dihangatkan isu apabila PN menjadi pembangkang?

"Ini jelas menunjukkan bahawa PN adalah sebuah gabungan politik yang hipokrit dan hanya menyamar sebagai pejuang bahasa kebangsaan apabila dah ketandusan idea,” katanya sambil menyorot tindakan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) baru-baru ini terhadap papan tanda yang tidak memaparkan bahasa Melayu. .

Woo menegaskan bahawa papan tanda berbilang bahasa tidak akan mengancam bahasa atau budaya negara dan menambah bahawa ini adalah satu norma sekarang, dan negara lain tidak menimbulkan kekecohan dengan perkara seumpamanya.

Ketua Pemuda DAP itu seterusnya membidas DBKL dalam penguatkuasaannya, memberi amaran bahawa tindakan itu hanya akan menjejaskan imej kerajaan dan memberi modal politik murahan kepada PN.

The Star melaporkan pada 21 Nov, DBKL menyasarkan papan tanda menggunakan bahasa seperti Bangladesh, Korea, Arab dan Cina yang gagal mematuhi peraturan.

Tahun ini, dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka, DBKL telah menjalankan operasi penguatkuasaan di enam pusat beli-belah, dengan mengeluarkan 31 notis kepada pesalah.

Operasi itu mendapat kritikan daripada Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Tiong King Sing, yang membangkitkan kebimbangan terhadap pelancong asing yang menganggap Malaysia sebagai negara "perkauman atau ekstrem agama".

Kenyataan Tiong dan permohonan maafnya kepada pelancong China sehari sebelumnya mengenai "pengalaman yang tidak menyenangkan" di negara ini, mengundang kritikan Ahli Parlimen Machang Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal.

Wan Fayhsal mempersoalkan alasan Tiong meminta maaf kepada pelancong China, berkata tidak pernah ada isu Malaysia meminta papan tanda Inggeris di China kerana "kami memahami dasar dan undang-undang mereka".


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS