Sebanyak 55 kes cubaan menyeludup dadah ke dalam pusat tahanan menggunakan dron berjaya ditumpaskan setakat ini, kata Saifuddin Nasution Ismail.
Menurut Menteri Dalam Negeri itu, kes paling serius dikesan berlaku di Penjara Tapah, Perak dan Penjara Alor Setar, Kedah, namun tiada dron yang berjaya bolos.
"Dadah dijatuhkan menggunakan dron, jadi kita mesti ada antidron.
"Kita (Kementerian Dalam Negeri) ada pasukan penembak untuk musnahkan dron," katanya semasa sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.
Saifuddin berkata demikian sebagai menjawab soalan Kamal Ashaari (PN-Kuala Krau) mengenai prosedur operasi standard kerajaan dalam menghapuskan dadah yang dirampas daripada operasi dan serbuan, serta langkah diambil bagi menangani kes penyeludupan dadah di dalam pusat tahanan.
Secara keseluruhan, Saifuddin berkata, 188 kes penyeludupan dadah dikesan di luar kawasan pusat tahanan manakala 22 kes lagi di dalam kawasan tahanan.
"Maksudnya kerana pengawasan kita ketat, tak sempat barang itu bolos.
"Kita dah sekat di luar pintu kawalan," katanya.
Tambah ahli Dewan Negara itu lagi hampir 70 peratus daripada lebih 87,000 tahanan penjara di negara ini melibatkan kes dadah.
Menurut Saifuddin prosedur di pusat tahanan telah diperketat terutama semasa tahanan dibawa masuk, ketika lawatan ahli keluarga, dan pemeriksaan rapi di sel atau bilik tahanan.
Selain itu, katanya, pihak berkuasa penjara juga meningkatkan perkongsian maklumat antara polis dan agensi berkaitan.
Mengenai pelupusan dadah, Saifuddin berkata, pelbagai jenis dadah sintetik dan konvensional bernilai RM228.2 juta telah dilupuskan mulai awal tahun ini sehingga Okt lalu.
Katanya dadah yang dirampas perlu selesai proses siasatan dan perbicaraan sebelum diambil alih oleh Jawatankuasa Pelupusan Barang selepas mendapat arahan daripada mahkamah atau timbalan pendakwa raya.
Saifuddin menjelaskan, semua dadah dilupuskan di Bukit Pelanduk, Negeri Sembilan oleh syarikat Kualiti Alam Sdn Bhd. Ketum atau air ketum pula dilupuskan di negeri ia dirampas.
- Bernama