Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Lebih 627,000 akaun pengguna TNB dipotong
Diterbitkan:  Nov 26, 2024 2:18 PM
Dikemaskini: 6:18 AM

PARLIMEN | Sebanyak 627,491 akaun pengguna Tenaga Nasional Berhad (TNB) terlibat dalam proses pemotongan bekalan elektrik dengan jumlah tunggakan RM1,008,771,447.78 setakat Sept lalu.

Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Akmal Nasrullah Mohd Nasir, berkata jumlah itu meningkat berbanding 464,076 akaun dengan tunggakan RM945,435,794.07 yang direkodkan pada tahun lalu.

Katanya lima negeri merekodkan jumlah akaun dan tunggakan tertinggi sehingga Sept tahun ini ialah Selangor, Kuala Lumpur, Perak, Johor dan Terengganu.

“Antara kemungkinan penyebab kelewatan pembayaran adalah kekangan kewangan, sikap tidak bertanggungjawab, serta sikap sambil lewa dengan kebanyakan nama pengguna berdaftar bukan pemilik premis, dan juga sikap bayar TNB terakhir,” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Akmal berkata demikian sebagai menjawab soalan Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka) mengenai jumlah kes pemotongan bekalan elektrik oleh TNB akibat kegagalan membayar bil selain jumlah tunggakan terlibat.

Menurut Akmal secara keseluruhan, jumlah pengguna TNB adalah seramai 10.4 juta orang meliputi 8.5 juta pengguna domestik dan 1.9 juta pengguna bukan domestik.

Berdasarkan Akta Bekalan Elektrik 1990 dan Peraturan-Peraturan Bekalan Pemegang Lesen 1990, TNB boleh mengambil tindakan untuk mendapatkan semula jumlah tertunggak melalui peringatan, perbincangan dengan pengguna.

Sekiranya tiada penyelesaian, pemotongan bekalan elektrik terpaksa dilaksanakan.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS