Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Polis: Tiada kes jenayah berhubung kes kelulusan pekerja asing dalam FWCMS

Polis tidak menemui sebarang bukti penglibatan jenayah dalam kes 24 akses pengguna yang tidak dikenali bagi meluluskan permohonan majikan untuk mendapatkan pekerja asing.

Perkara itu didedahkan oleh Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) dalam laporannya minggu lalu.

Kelulusan itu dibuat melalui Sistem Pengurusan Berpusat Pekerja Asing (FWCMS) yang dimiliki oleh firma swasta Bestinet Sdn Bhd, dan digunakan oleh kerajaan untuk memproses permohonan pekerja asing.

Dalam laporan awal Julai lalu, PAC mendapati kelemahan dalam pengurusan kawalan pengenalan (ID) sistem FWCMS digunakan untuk meluluskan Epass (permit kerja).

Ia mendapati isu keselamatan dan tadbir urus, dengan sistem itu terdedah kepada penggodaman dan akaun pengguna, yang sepatutnya hanya dipegang oleh kakitangan kerajaan, telah diakses oleh individu yang tidak dibenarkan.

'Kegagalan teknikal'

Bagaimanapun, siasatan polis mendapati bahawa kelulusan permohonan pekerja asing sebenarnya dibuat melalui akaun milik Kementerian Sumber Manusia.

“Penemuan rekod yang menunjukkan rekod ID Pegawai Pelulus atas nama individu bukan pegawai KesumaA adalah berpunca daripada isu user session yang bertukar (session swapped) yang disebabkan oleh masalah teknikal pada sistem dan bukan berpunca daripada penggodaman ke atas sistem,.

“Pihak Kesuma mengesahkan telah menerima permohonan dari kesemua 24 syarikat yang terlibat dan wakil syarikat telah hadir temuduga sebagaimana prosedur yang ditetapkan.

“Pihak vendor sistem daripada syarikat Bestinet Sdn Bhd mengesahkan kesemua kelulusan permohonan di buat menggunakan ID milik Pegawai Pelulus Kesuma,” kata PAC dalam laporan terbarunya.

Walaupun PAC berpuas hati dengan jawapan yang diberikan oleh Kesuma dan siasatan oleh polis, jawatankuasa itu tetap memandang serius isu tersebut.

“PAC mengambil berat isu kelemahan teknikal yang berlaku sehingga menyebabkan sistem FWCMS berhubung 24 permohonan kuota pekerja asing yang telah diluluskan oleh unauthorised user dan ia perlu dipastikan tidak berulang.” katanya.

Menurut laporan itu, kementerian juga telah mengesahkan kesahihan permohonan yang dibuat daripada semua 24 syarikat.

Rujukan silang dengan FWCMS juga mengesahkan kelulusan kuota dikendalikan dengan betul dan ID yang dibenarkan telah digunakan dalam urus niaga berkenaan.

PAC berkata polis merujuk kertas siasatan mereka kepada Jabatan Peguam Negara pada 17 Julai lalu dan kemudian mengklasifikasikannya sebagai tiada tindakan lanjut (NFA) kerana tiada unsur jenayah.

Ia juga meminta tindakan diambil bagi mengelak kesilapan sama berulang pada masa hadapan.

[Baca berita penuh]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS