Veteran Umno mahu Perdana Menteri Anwar Ibrahim menukar Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Tiong King Sing dengan calon lain yang lebih berwibawa.
Menerusi satu kenyataan akhbar, Setiausaha Veteran Umno, Mustapha Yaakub berkata tindakan itu demi menjaga nama baik negara.
“Veteran (Umno) meminta PMX (perdana menteri kesepuluh) supaya menimbang kemungkinan menukar Tiong dengan orang lain yang lebih berwibawa sebagai menteri pelancungan demi menjaga nama baik negara,” katanya.
Mustapha merujuk kepada kenyataan Tiong baru-baru ini bahawa dia menerima pertanyaan daripada pelancong asing yang bertanya apakah Malaysia sebuah negara bersifat perkauman atau ekstrem agama, susulan serbuan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) ke atas beberapa premis di ibu negara sebelum ini.
Serbuan itu merupakan operasi berskala besar terhadap premis-premis yang tidak memasang papan tanda bahasa kebangsaan.
Tiong dilaporkan berkata, berbanding menampakkan imej autoritarian dan terkebelakang, DBKL seharusnya menjiwai semangat ketamadunan dan keterbukaan ibu kota.
Katanya, multikulturalisme bukanlah kelemahan, tetapi kelebihan dalam daya saing dan memohon maaf kepada pelancong dari China.
Mengulas lanjut, Mustapha berkata, tidak ada sebab untuk Tiong meminta maaf kepada pelancong China kerana layanan tidak istimewa oleh kerajaan Malaysia kepada mereka.
“Dakwaan Tiong kononnya dia ditanya oleh pelancong China apakah Malaysia sebuah negara perkauman adalah satu pembohongan dan wayang Cina Tiong.
“Mana ada satu negara di dunia ini yang memberi layanan istimewa kepada pelancong yang melancoung ke negara mereka sehingga terpaksa menukar papan iklan kepada bahasa pelancung?” soalnya.
Menurut veteran Umno itu, jumlah pelancong Melayu yang melawat China juga bukan sedikit tetapi papan iklan di pusat membeli-belah di Beijing,Shanghai dan lain-lain tetap dalam bahasa Mandarin.
“Tiong sengaja menimbulkan isu bahasa ini kerana dia anti bahasa Melayu. Tiong juga anti negaranya sendiri, Malaysia.
“Tiong tidak patriotik dan nasionalis. Dia lebih Cina dari China tanah besar. Sikap rasisnya jelas sehingga terbawa-bawa kepada penduduk negara asing,” katanya.
Mustapha berkata, adalah amat menalukan negara ini apabila seorang menteri seperti Tiong bercakap seolah-olah Malaysia tidak aman dan selamat.
Justeru, katanya pemimpin dari Sarawak itu perlu dipecat.
Sebelum ini, Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh turut membidas itu dan bertanya apakah Malaysia merupakan sebuah negara perkauman berikutan serbuan terhadap premis perniagaan yang memasang papan tanda berbahasa Cina.
Sebaliknya, kata exco Melaka itu, individu yang bersikap perkauman ialah mereka yang telah lama menetap di Malaysia tetapi pura-pura tidak tahu mengenai undang-undang dan sensitiviti rakyat di negara ini.