Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin menyifatkan kaedah pelantikan exco Perlis akhirnya diperbetul melalui rombakan baru semalam.

Katanya, tahun lalu, Menteri Besar Shukri Ramli daripada PAS melantik exconya tanpa mendapatkan pandangan rakan gabungan.

Bagaimanapun, dalam wawancara dengan Malaysiakini di pejabatnya di Kuala Lumpur semalam – beberapa jam selepas rombakan itu – Muhyiddin berkata tahun ini Shukri memilih pendekatan berbeza.

“Menteri besar beberapa hari lalu hantar surat rombakan, minta cadang nama (exco).

“Beza dengan dulu, dia pandai-pandai. Memang (rombakan) itu hak dia, tetapi dirunding,” kata Muhyiddin.

Menteri besar Perlis semalam menggugurkan Wan Zikri Afthar Ishak (Adun Tambun Tulang) dan Megat Hashirat Hassan (Adun Pauh) sebagai exco negeri.

Menteri Besar Perlis Shukri Ramli

Tempat mereka digantikan oleh Adun lain, juga daripada Bersatu, iaitu Abu Bakar Hamzah (Adun Kuala Perlis) yang juga pengerusi Bersatu Perlis dan Ketua Srikandi Bersatu Marzita Mansor (Adun Sena).

PAS menambah satu lagi exco melalui lantikan Mohd Ridzuan Hashim (Adun Guar Sanji), menjadikan jumlah keseluruhan, termasuk menteri besar, bertambah kepada sembilan orang.

Bersatu kekal dengan tiga kuota.

Langkah politik MB?

Di sebalik jangkaan apa yang berlaku sebagai sebahagian daripada langkah politik Shukri, Muhyiddin berkata cadangan pertukaran dua exco Bersatu sebenarnya datang daripada Bersatu sendiri.

Muhyiddin, bekas perdana menteri dan anggota parlimen Pagoh, menjelaskan pemilihan exco kali ini dibuat berdasarkan kekananan kedudukan dalam parti.

Katanya, Abu Bakar dilantik kerana jawatannya sebagai pengerusi Bersatu negeri manakala Marzita pula atas kapasiti sebagai ketua srikandi negeri.

Pengerusi Bersatu Perlis ABu Bakar Hamzah

"Saya dah cakap dari dulu, YB Abu Bakar pengerusi Bersatu Perlis, kenapa dia tak ada (dilantik).

“Ini diperbetulkan,” kata Muhyiddin.

Dalam kes Marzita pula, kata Muhyiddin, dia adalah pemenang undi tertinggi dalam pemilihan exco srikandi pusat Bersatu baru-baru ini.

“Jadi sebab itu dua (exco) yang lama, (kena) buang. Itu biasa.

“Bukan sebab dia (mereka yang digugurkan) jahat. Tak ada,” kata tokoh pembangkang itu.

Sementara itu, Adun Titi Tinggi Izizam Ibrahim pula, kata Muhyiddin, dikekalkan kerana kedudukannya sebagai pemimpin nombor dua dalam Bersatu negeri.

Dihubungi Malaysiakini selepas digugurkan, Wan Zikri berkata dia hanya dimaklumkan dua hari lalu bahawa dia digugurkan atas “faktor politik”.

Adun Tambun Tulang Wan Zikri Afthar Ishak

"Saya tak pasti (apa alasan). Orang selayaknya untuk menjawab ialah menteri besar,” katanya.

Sementara itu, Muhyiddin menjelaskan pertukaran itu perlu dibuat kerana Perlis memang mengamalkan rombakan negeri setiap tahun.

"Bila ada yang naik, tentu ada yang kena turun,” kata pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu.

Bersatu cadang tambah 2 exco

Muhyiddin mendedahkan dia turut mencadangkan Abu Bakar dilantik sebagai exco kanan dan jumlah exco ditambah dua lagi dengan satu daripada PAS dan satu lagi Bersatu.

Bagaimanapun, katanya, hanya cadangan pertama diterima.

Bagi cadangan kedua, katanya, menteri besar bagaimanapun hanya menambah satu exco daripada PAS.

“Tetapi yang PAS dia lantik, yang Bersatu kosong, dia biarkan.

“Jadi ini tak apalah,” katanya yang enggan memanjangkan isu itu.

Sementara itu, ditanya kenapa pihak digugurkan dimaklumkan pada saat-saat akhir, Muhyiddin berkata dia sendiri baru mendapat tahu berkaitan perkara itu.

"Pasal kita pun baru beberapa hari (dimaklumkan).

“(Pertukaran) bukan pasal dia buat salah, tetapi giliran," ulangnya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS