Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Perkeso sasar beri perlindungan 24 jam
Diterbitkan:  Nov 26, 2024 9:50 AM
Dikemaskini: 1:50 AM

Hampir sembilan juta pekerja Malaysia mungkin menikmati perlindungan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) 24 jam menjelang pertengahan tahun depan.

Menurut timbalan ketua pegawai eksekutif strategi dan korporat Perkeso Edmund Cheong, terdapat usaha untuk memperluaskan Skim Bencana Pekerjaan kepada semua waktu sepanjang hari.

"Kerajaan mahu meminda Akta Keselamatan Sosial Pekerja untuk menyediakan perlindungan 24 jam," katanya kepada New Straits Times.

Selepas pindaan akta itu, Perkeso akan menyediakan perlindungan bagi semua kemalangan, malah yang tidak berkaitan dengan kerja dan berlaku di luar waktu bekerja, katanya.

Ini juga akan meliputi pekerja Malaysia yang cedera dalam perjalanan kerja ke luar negara, tambahnya.

"Kita akan menjadi salah satu daripada beberapa negara pertama di dunia yang menawarkan perlindungan 24 jam kepada pekerja," katanya.

Dia berkata peningkatan perlindungan itu akan menyaksikan caruman bulanan pekerja meningkat kepada jumlah yang masih belum dimuktamadkan oleh kerajaan.

Perkeso bercadang untuk meluaskan liputannya kepada pekerja gig ekonomi, tetapi Rang Undang-undang Pekerja Gig mesti diluluskan terlebih dahulu, katanya.

Pada masa ini, Perkeso melihat ramai pekerja yang ingin menuntut faedah kecederaan di luar waktu kerja, tetapi ia tidak dapat membantu kerana undang-undang tidak membenarkannya, jelasnya.

"Lebih 95 peratus syarikat di negara ini adalah perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PKS), dan mereka mungkin tidak mampu membayar faedah insurans untuk pekerja mereka," tambahnya.

Jelasnya, Perkeso menyediakan bayaran sekaligus serta penggantian pendapatan, tidak seperti skim insurans swasta.

"Jadi, jika anda kehilangan kaki anda di tempat kerja, Perkeso akan memberi pampasan kepada anda untuk 90 peratus daripada purata gaji terakhir anda sepanjang hayat anda.

"Sekarang anda hanya mempunyai perlindungan itu jika anda kehilangan kaki anda semasa bekerja. Sebaik sahaja kita mempunyai perlindungan 24 jam, anda akan sentiasa dilindungi, walaupun anda cedera di rumah," katanya.

Ini juga terpakai kepada faedah kematian kerana Perkeso akan membayar tanggungan pencarum 90 peratus daripada gaji purata sepanjang hayat mereka.

Anak-anak pencarum akan dibayar gaji yang sama sehingga mereka mencapai umur 21 tahun.

Setakat ini, Perkeso telah mengadakan sesi penglibatan dengan pihak berkepentingan seperti kumpulan majikan dan pekerja, kata Cheong.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS