Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
ULASAN | Guna bahasa Melayu atau tidak, peniaga kafir sentiasa salah

ULASAN | Sekali lagi api kemarahan orang Melayu menyambar apabila puak-puak type-C dikatakan tidak menghormati bahasa Melayu dan undang-undang tempatan kerana tidak menggunakan papan tanda berbahasa kebangsaan di kedai-kedai mereka.

Tetapi di sebalik amarah yang membara itu, juga timbul persoalan: sebenarnya mengapa kita harus marah, dan adakah yang marah itu hipokrit?

Adakah penting untuk orang Melayu tahu bahawa tulisan Cina pada papan tanda sebuah kedai itu bermaksud "Kedai Pau Babi Ah Chong"?

Cuba kita imbas kembali.

Pada 2021, sebuah syarikat tempatan mengeluarkan satu produk arak yang menggunakan bahasa Melayu untuk labelnya.

Produk wiski itu yang menggunakan nama "Timah". Menyertai label itu ialah gambar orang putih kafir berjambang dan bertopi serupa kopiah.

Seperti selalu ia cepat saja mencetuskan kemarahan sesetengah orang Melayu atas alasan syarikat serta produk terbabit tidak menghormati sensitiviti "orang kita".

Adakah sebenarnya dek kebencian

Sementara itu sebuah rangkaian makanan segera pula menukar nama air rut bir (root beer) kepada hanya RB untuk menjaga sensitiviti kaum Melayu.

Jangan lupa juga kontroversi apabila Melayu mendapat tahu ada seorang peniaga bukan Muslim menjual "nasi kandar babi".

Malah, saya juga pernah melihat di media sosial beberapa tahun yang lalu, seorang Melayu marah ada trak makanan (food truck) menjual menu "burger babi" dengan nama pork burger di Subang Jaya.

Mengikut kata ahli politik yang mendakwa pejuang Islam, serta pendukung mereka, orang Melayu adalah umat yang teramat lemah imannya.

Hal itu kerana sehingga produk arak dan babi dalam bahasa apa pun perlu disorok daripada pandangan "kami" agar "kami" tidak terpesong akidah.

Dalam keadaan begini, adalah jelas bahawa bagi mereka yang bukan Islam, menggunakan bahasa Melayu untuk menjual produk haram adalah perkara yang amat pantang kerana tidak menjaga sensitiviti orang Melayu.

Tetapi sekarang "kami" marah juga apabila mereka - yakni peniaga bukan Islam - tidak menggunakan bahasa Melayu pada papan-papan tanda kedai yang menjual makanan dan minuman yang haram.

Alasannya: kerana ia tidak menghormati bahasa kebangsaan dan undang-undang sedia ada.

Justeru mana satu yang betul? Guna bahasa Melayu kena marah; tak guna pun kena marah.

Adakah jawapan bagi pertanyaan-pertanyaan tadi ialah, mereka yang marah-marah itu sebenarnya benci kepada kaum bukan Melayu dan bukan Islam yang 'menindas' mereka?

Sebab itu apa-apa sahaja ruang dan peluang yang boleh dimanfaatkan, ia perlu dijadikan alasan untuk marah; dan kemarahan itu kemudian akan disambut.

Renungkanlah.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS