Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kontraktor projek rumah generasi Felda didakwa rugi lebih RM30 juta

Kontraktor yang terlibat dalam 10 projek perumahan generasi baru Felda (PGBF) di Pahang mengalami kerugian lebih RM30 juta akibat pelaksanaan projek berkenaan terbengkalai hampir dua tahun.

Adun PN (Kuala Sentul), Jasri Jamaludin, berkata situasi ini memerlukan campur tangan segera kerajaan negeri Pahang demi generasi kedua Felda.

Menurutnya, kegagalan projek PGBF adalah disebabkan oleh pemaju yang dilantik oleh kerajaan negeri.

"Ia membabitkan 10 projek di 10 kawasan Felda di Pahang, melibatkan 1,850 buah rumah yang berharga RM120,000 sebuah dengan anggaran keseluruhan RM220 juta.

"Saya telah membangkitkan perkara ini banyak kali bahkan di sidang DUN Menteri Besar Wan Rosdy Wan Ismail berkata usah risau akan ditangani segara, namun sehingga kini belum ada tindakan.

"Kerugian yang dialami kontraktor yang terbabit dengan projek ini melebihi RM30 juta," katanya dalam sidang media di ibu negara, hari ini.

Justeru Jasri menasihati generasi kedua Felda yang ingin membeli kediaman berkenaan supaya berfikir panjang.

Malaysiakini sedang berusaha mendapat respon daripada exco berkaitan dan pemaju terbabit.

Antara kawasan yang terbabit dengan projek perumahan berkenaan ialah di Felda 1, Jengka 6; Jengka 12; Keratong; Bukit Sagu; Sungai Retang dan Bukit Tajau.

Saman terhadap pemaju

Sementara itu wakil kontraktor, Syahfrilhaidi Abdul Rahman, berkata pihaknya telah mengemukakan saman terhadap pemaju projek berkenaan.

Syahfrilhaidi yang mewakili syarikat Mental Construction Sdn Bhd, TNL Assest Sdn Bhd, Medan Kembara AAY Sdn Bhd dan tiga lagi syarikat berkaitan berkata pihak pemaju telah mengambil wang jaminan berjumlah RM50,000 hingga ke RM520,000.

"Pemaju telah mengutip wang jaminan sebagai syarat pemberian kontrak surat setuju terima (SST) kepada kami dari serendah RM50,000 sehingga setinggi RM520,000 masing-masing.

"Namun, projek-projek tersebut telah diuruskan secara tidak telus dan tidak bertanggungjawab yang menyebabkan penamatan kontrak atau kerja-kerja tidak dapat diteruskan dan akibatnya kami telah mengalami kerugian yang besar.

"Sesetengah kami telah diarahkan oleh pemaju untuk memulakan kerja di tapak projek yang tidak atau belum mempunyai kebenaran merancang," katanya dalam sidang media itu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS