Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pena sokong DBKL kumpul data pelanggaran lesen papan tanda niaga

Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA) menyokong langkah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengumpul data mengenai pelanggaran lesen papan tanda perniagaan berkaitan penggunaan bahasa kebangsaan di sekitar ibu negara.

Presiden PENA Dr Mohamad Saleeh Rahamad berkata langkah DBKL mengumpul data pelanggaran lesen papan tanda perniagaan untuk diserahkan kepada pengurusan pusat beli-belah berkaitan untuk tindakan lanjut adalah tindakan berhemah oleh agensi penguat kuasa bandar raya itu.

“Tindakan DBKL itu sudah terlalu berhemah, melalui prosedur yang jelas dan tidak menimbulkan kesan huru-hara berbanding dengan tindakan menurunkan semua papan tanda berkenaan tanpa notis. Tiada tindakan keras sama sekali dilakukan oleh DBKL malah semuanya mengikut peraturan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohamad Saleeh berkata pihak berkuasa tempatan (PBT) mempunyai akta yang jelas untuk menguatkuasakan peraturan mewajibkan penggunaan bahasa kebangsaan di samping bahasa lain dalam kapasiti yang tertentu.

“Tiada unsur diskriminasi dalam penguatkuasaan tersebut bahkan semua premis perniagaan sepatutnya sudah mengetahui apa-apa sahaja peraturan yang disediakan.

“PENA berpandangan pihak yang mewakili kerajaan sepatutnya mempertahankan semua tindakan dan peraturan yang sedia ada kerana itulah tugas hakiki mereka, bukannya merobohkan undang-undang yang sudah jelas,” katanya.

Mohamad Saleeh berkata Dewan Bahasa dan Pustaka juga sudah menyediakan kemudahan untuk rujukan semua pihak sebelum menaikkan papan tanda perniagaan dan prosesnya sangat mudah dengan semua urusan semakan draf papan tanda boleh dilakukan secara dalam talian.

Semalam, sebuah media dalam talian melaporkan bahawa Persatuan Restoran Cina Malaysia mendakwa perniagaan mereka menghadapi peningkatan kos operasi berikutan tindakan keras berhubung papan tanda oleh DBKL.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS