Selangor dan Kuala Lumpur merupakan tempat paling mahal untuk warga Malaysia menjalani kehidupan yang wajar, menurut laporan Indikator Kos Sara Hidup 2023 oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) bulan ini.
Untuk mencapai gaya hidup yang wajar, individu memerlukan sekurang-kurangnya RM1,755 sebulan di Kuala Lumpur, dan RM1,630 di Selangor.
Selangor menduduki tangga teratas dengan purata kos kehidupan wajar sebanyak RM5,854 sebulan untuk satu isi rumah, dengan purata isi rumah seramai empat orang - atau lebih tepat, 3.8.
Namun, gaji median individu di Selangor pada suku ketiga 2023 hanya RM2,900 sebulan, menunjukkan gaji dua orang dewasa bekerja mungkin tidak mencukupi untuk memenuhi keperluan keluarga seramai empat orang.
Ini bermakna pasangan dengan pendapatan sedemikian dan memiliki dua anak hanya akan hidup secara cukup makan, atau mereka perlu membuat kerja sampingan.
Di Kuala Lumpur, satu isi rumah dengan purata 3.2 orang memerlukan RM5,468 sebulan untuk menjalani kehidupan wajar.
Gaji median bulanan individu di Kuala Lumpur adalah RM3,800, sekali lagi membangktikan keperluan pendapatan dua orang untuk satu isi rumah untuk memenuhi keperluan kehidupan yang wajar di ibu kota.
Kos ini jauh lebih tinggi berbanding purata nasional, di mana purata perbelanjaan asas bulanan bagi kehidupan wajar di Malaysia pada 2023 adalah RM4,729 untuk isi rumah dengan 3.8 orang.
Di kawasan luar bandar, purata kos adalah lebih rendah iaitu RM3,631 untuk satu isi rumah dengan empat orang.
Petaling daerah paling mahal
Menurut DOSM, garis pendapatan kehidupan wajar dicapai apabila satu isi rumah memenuhi “kehidupan bermakna dan selesa”.
“...Isi rumah yang mencapai taraf kehidupan yang bermakna dan selesa di mana perbelanjaan yang diperlukan bagi menjalani kehidupan wajar dapat dipenuhi (mengambil kira tiga perkara iaitu keperluan, kehendak dan penyertaan dalam masyarakat).
“Garis Kehidupan Wajar adalah satu penanda aras yang digunakan untuk menggambarkan tahap pendapatan minimum yang dianggap mencukupi bagi memenuhi keperluan hidup seseorang.
“Keperluan ini bukan sahaja merangkumi perkara asas seperti makanan, pakaian dan tempat tinggal, tetapi juga keperluan sosial yang lain seperti pendidikan dan akses kepada kesihatan,” menurut DOSM.
Berdasarkan takrifan ini, DOSM mendapati daerah Petaling di Selangor sebagai daerah paling mahal di Malaysia untuk mencapai taraf kehidupan itu.
Purata perbelanjaan asas bulanan yang diperlukan di Petaling untuk mencapai kehidupan wajar adalah sebanyak RM6,660 bagi setiap isi rumah, diikuti Klang (RM6,244) dan Hulu Langat (RM5,810).
Dari segi per kapita, kos kehidupan wajar di Petaling adalah RM2,031, diikuti Timur Laut di Pulau Pinang (RM1,741) dan Klang di Selangor (RM1,618).
Daerah termurah untuk mencapai taraf kehidupan itu adalah Lojing di Kelantan (RM670 per kapita), diikuti Tebedu (RM728) dan Julau (RM749) di Sarawak.
Dari segi isi rumah, daerah termurah untuk mencapai kehidupan wajar adalah Bukit Mabong (RM1,935), Julau (RM2,437) dan Sri Aman (RM2,486) - ketiga-tiganya di Sarawak.
Perbelanjaan naik lebih cepat berbanding pendapatan
Menurut DOSM, berdasarkan tinjauan perbelanjaan isi rumah yang dijalankan, purata perbelanjaan penggunaan isi rumah meningkat lebih cepat, iaitu pada kadar 3.7 peratus, berbanding purata pendapatan isi rumah dari 2019 hingga 2022.
“Perbelanjaan penggunaan isi rumah bulanan purata meningkat daripada RM4,609 pada 2019 kepada RM5,150 pada 2022.
“Sementara itu, perbelanjaan penggunaan isi rumah bulanan penengah meningkat daripada RM3,683 pada 2019 kepada RM4,282 pada 2022,” kata DOSM lagi.
Perbelanjaan utama isi rumah tertumpu kepada empat kategori:
Perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain (23.2 peratus)
Makanan dan minuman (16.3 peratus)
Restoran dan perkhidmatan penginapan (16.1 peratus)
Pengangkutan (11.3 peratus)
Keempat-empat kategori ini merangkumi 67 peratus daripada keseluruhan perbelanjaan isi rumah, kata DOSM.