Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Suhakam kritik penggunaan Sosma dalam kes GISBH
Diterbitkan:  Nov 25, 2024 4:17 PM
Dikemaskini: 8:21 AM

Suhakam menyatakan kebimbangan berhubung penahanan individu yang dikaitkan dengan GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma).

Menurut Suhakam, penggunaan Sosma dilihat tidak seimbang bagi kesalahan yang didakwa melibatkan aktiviti penyelewengan akidah dan penganiayaan terhadap kanak-kanak.

"Suhakam menegaskan bahawa penggunaan peruntukan drakonian Sosma berisiko menghakis komitmen Malaysia terhadap keadilan, kedaulatan undang-undang, dan hak asasi manusia yang asas," katanya dalam kenyataan.

Suruhanjaya itu berkata tindakan ini menetapkan duluan yang membimbangkan dan berpotensi "membenarkan" penggunaan undang-undang keselamatan negara dalam kes yang tidak memenuhi tahap keseriusan di bawah Sosma.

Suhakam berkata Kanun Prosedur Jenayah sudah mencukupi untuk menangani kes-kes sebegini, selain memastikan proses undang-undang yang terbuka dan adil.

"Suhakam mengakui usaha kerajaan yang lebih luas ke arah reformasi undang-undang, namun penggunaan Sosma dalam kes GISB ini menghantar mesej yang tidak konsisten dan membimbangkan.

"Ia berisiko mengurangkan keyakinan awam terhadap sistem keadilan dan boleh dianggap sebagai tindakan yang tidak sesuai serta bertentangan dengan hala tuju reformasi," tegasnya.

Suhakam juga menyeru kerajaan memenuhi standard hak asasi manusia antarabangsa, seperti Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat (UDHR) dan Perjanjian Antarabangsa Mengenai Hak Sivil dan Politik (ICCPR), serta menuntut proses kehakiman yang telus, pertuduhan yang sesuai, dan perwakilan undang-undang yang adil.

Suhakam juga mencadangkan agar Sosma disemak secara menyeluruh untuk memastikan peruntukannya adil dengan mekanisme pemantauan yang ketat bagi mencegah penyalahgunaan.

"Suhakam tetap teguh dalam mempromosikan sistem keadilan yang menghormati maruah manusia, ketelusan, dan akauntabiliti, serta menegaskan semula bahawa hak dan kebajikan semua individu mesti dilindungi dalam kerangka kebebasan asasi seperti yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan dan Kedaulatan Undang-Undang," tambahnya.

Menurut polis pada 23 Oktober, siasatan terhadap lebih daripada 30 individu yang ditahan di bawah Sosma masih dijalankan, manakala 22 individu termasuk CEO GISBH Nasiruddin Mohd Ali dan isterinya, Azura Md Yusof, telah didakwa atas penglibatan mereka dalam kumpulan jenayah terancang.

Nasiruddin dan Azura kemudian memfailkan permohonan habeas corpus bagi mendapatkan pembebasan segera daripada penahanan yang didakwa mereka sebagai tidak sah.

Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail mempertahankan keputusan menggunakan Sosma kerana siasatan dijalankan di bawah Seksyen 130B(1) Kanun Keseksaan, yang meliputi jenayah terancang.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS