Ahli Parlimen Pembangkang Awang Hashim (PN-Pendang) diarah keluar dari Dewan Rakyat petang ini selepas pertengkaran di kalangan ahli parlimen berhubung penggunaan bahasa Cina pada papan tanda.
Timbalan Speaker Dewan Rakyat Alice Lau membuat perintah itu selepas wakil rakyat PAS itu meneruskan pertengkaran lisan dengan Chong Zhemin (PH-Kampar).
Ini berlaku selepas Chong mendakwa Mas Ermieyati Samsudin (PN-Masjid Tanah) mengelirukan dewan apabila menuduh Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Tiong King Sing mempermainkan sentimen perkauman.
“Bolehkah saya mengatakan bahawa DAP tidak mengiktiraf Bahasa Melayu?” soal Awang (gambar atas).
Ini menimbulkan kemarahan Chong, dan dia menuduh Awang mengelirukan Dewan Rakyat serta menuntut ahli parlimen pembangkang itu menarik balik kenyataannya.
“Pendang. Jangan buat sangkaan jahat. Saya tak pernah cakap kita tak iktiraf. Tarik balik.
“Sila tarik balik. Pendang. Jangan main-main,” katanya.
Ahli parlimen pembangkang itu kemudian menjawab dengan mengatakan bahawa apa yang diperkatakannya adalah terhadap DAP dan bukannya terhadap Ahli Parlimen Kampar itu secara peribadi.
Lau kemudian mencelah dan mengarahkan Awang keluar, dengan mengatakan bahawa dia harus beredar untuk rehat tengah hari awal.
“Pendang boleh keluar sekejap. Jangan kacau dewan. Pendang boleh keluar rehat," katanya.
Sebelum arahan Lau, Chong menekankan bahawa mengikut garis panduan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, papan tanda boleh termasuk bahasa Inggeris, Cina dan Tamil.
“Tapi kena ada bahasa Melayu, kita tak nafikan" jelasnya.
"Saya nak tanya, Mr DIY bahasa Melayu ke bahasa Inggeris? Kentucky Fried Chicken bahasa Melayu ke Inggeris? Di Kelantan, tulis Kentucky Fried Chicken ke atau Ayam Goreng Kentucky?" soalnya.
Pada 22 Nov, Ahli Parlimen Bukit Bintang Fong Kui Lun membangkitkan kebimbangan mengenai penguatkuasaan peraturan DBKL yang mewajibkan pemilik perniagaan mempamerkan papan tanda bahasa Melayu dengan jelas dalam mematuhi garis panduan papan tanda komersial.
Berikutan penguatkuasaan itu, Tiong berkongsi bahawa pelancong asing telah mempersoalkan sama ada Malaysia adalah negara perkauman atau ekstrem agama, mencerminkan persepsi mereka terhadap dasar itu.
Kenyataan Tiong itu mencetus respons daripada Ketua Pemuda Umno Dr Muhammad Akmal Saleh, yang mendakwa perniagaan yang menjadi sasaran dalam serbuan itu adalah bersifat perkauman kerana berpura-pura tidak mengetahui undang-undang dan sensitiviti penduduk tempatan.
Bulan lalu, DBKL mendenda lima restoran di Bukit Bintang kerana gagal memasukkan papan tanda berbahasa Melayu atau mempamerkannya secara jelas.