Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
MB Perlis patut berani, kata Adun Bersatu lepas gugur dari exco

Adun Tambun Tulang, Wan Zikri Afthar Ishak, memaklumkan dia hanya diberitahu bakal digugurkan daripada jawatan exco Perlis pada dua hari lalu.

Katanya, Menteri Besar Mohd Shukri Ramli tidak memberikan sebarang alasan jelas berhubung keputusan tersebut sebaliknya sekadar mendakwa ia disebabkan oleh faktor politik.

"Saya tak pasti (apa alasan)... orang selayaknya untuk menjawab ialah menteri besar.

"Saya hanya diberitahu dua hari sebelum, iaitu hari Sabtu lalu.

"Saya tanya apakah sebab prestasi (sebagai exco), dia (menteri besar) kata: tak, prestasi saya cemerlang. Dia kata sebab politik," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Terdahulu Wan Zikri dan Adun Pauh, Megat Hashirat Hassan, diketepikan daripada barisan exco Perlis dalam rombakan kerajaan negeri hari ini.

Untuk rekod Bersatu mempunyai tiga wakil dalam exco kerajaan Perlis. Selain Wan Zikri dan Megat Hashirat, seorang lagi Adun Bersatu yang terpilih selepas PRU pada 2022 lalu ialah Izizam Ibrahim (Titi Tinggi).

Dalam rombakan hari ini, Izizam dikekalkan manakala tempat Wan Zikri serta Megat Hashirat digantikan oleh Abu Bakar Hamzah (Kuala Perlis) dan Marzita Mansor (Sena).

Secara keseluruhan DUN Perlis mempunyai 15 kerusi. Dalam pilihan raya lalu, Bersatu memenangi lima kerusi berbanding sembilan PAS. Baki satu lagi kerusi - Indera Kayangan - dimenangi oleh PH.

Ditanya apakah perasaannya apabila Mohd Shukri menggugurkannya daripada jawatan exco, Wan Zikri berkata, sudah tentu dia berasa kecewa.

"Tipulah kalau sebagai seorang manusia saya tak kecewa, apatalah lagi saya buat banyak perancangan untuk tahun hadapan," katanya.

Sementara itu Wan Zikri berkata, menteri besar sepatutnya memaklumkan rombakan tersebut lebih awal supaya dia boleh menyusun kembali gerak kerjanya.

Katanya keputusan pada saat-saat akhir dibuat kerajaan negeri memberi kesan yang besar termasuk dalam kalangan pihak yang bekerja dengannya.

"Menteri besar patut tahu kuasanya. Dia patut berani, jangan bagi tahu saat akhir... Isnin lalu ada mesyuarat exco, bagi tahulah.

"Saya ada pekerja di bawah saya yang ada isteri, ada keluarga, takkan saya nak buang," katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS