Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Afnan sindir MP Bukit Bintang tak tiwikrama dukung dasar k'jaan

PARLIMEN | Blok pembangkang hari ini memberi tindak balas tegas terhadap blok kerajaan - termasuk menteri - dalam isu penggunaan bahasa pada papan iklan di premis-premis perniagaan dalam kawasan pentadbiran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Dalam sidang media hari ini, Afnan Hamimi Taib Azamudden (PN-Alor Setar) menempelak kenyataan Fong Kui Lun (PH-Bukit Bintang) berhubung isu berkenaan dengan mempersoalkan kewajaran seorang ahli parlimen kerajaan membantah tindakan penguatkuasaan undang-undang oleh pihak berkuasa tempatan (PBT).

Merujuk tindakan BDKL terhadap premis di Jalan Imbi, Kuala Lumpur, Afnan Hamimi berkata, dia percaya DBKL mengambil tindakan mengikut bidang kuasa sedia ada dan itu menjadi amalan PBT terbabit sejak sekian lama.

"Malangnya Ahli Parlimen Bukit Bintang membantah tindakan itu kononnya ia keras, tergesa-gesa, mengganggu, dan kesimpulannya dia tidak bersetuju.

"Kami (PN) pun pelik kenapa dia tak setuju? Kenapa dia nak kekalkan penggunaan papan iklan dalam bahasa Cina? Kenapa nak mempertahankan tulisan Cina itu?" katanya.

Jumaat lalu Fong menyatakan kebimbangannya terhadap penguatkuasaan DBKL yang mewajibkan pemilik perniagaan mempamerkan papan tanda berbahasa Melayu mengikut peraturan papan tanda komersial.

Katanya tindakan keras itu adalah terlalu tergesa-gesa dan mengganggu, terutama di kawasan berbilang budaya dan antarabangsa seperti Kuala Lumpur.

Tak tahu apa nak jadi

Malah jelas Fong penguatkuasaan yang berlebihan bukan sahaja mengganggu perniagaan malah memberi kesan negatif kepada ekonomi, khususnya sektor pelancongan.

China Press melalui laporannya sebelum ini membangkitkan persoalan jika komen bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad mengenai papan tanda berbahasa Cina menjadi pencetus tindakan DBKL mengambil tindakan besar-besaran terhadap "papan tanda haram".

Mahathir sebelum itu mengkritik semua papan tanda di kompleks beli-belah yang menggunakan bahasa Cina dengan terjemahan Inggeris, tetapi tiada dalam bahasa Melayu.

Terdahulu DBKL melancarkan operasi besar-besaran menyasarkan papan tanda haram di pelbagai kawasan, termasuk Segambut, Pudu, dan Jalan Silang di pusat bandar.

Operasi itu melibatkan pasukan penguatkuasa dan pelesenan DBKL, bersama pegawai Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan polis.

Fong Kui Lun

Afnan Hamimi yang juga ketua Pemuda PAS Pusat berkata, Fong sepatutnya membantu pihak berkuasa melaksanakan undang-undang yang dilaksanakan kerajaan, bukan membuat bantahan.

"Dia ahli parlimen kerajaan sepatutnya mendukung kerajaan melaksanakan tatakelola, tadbir urus, wewenang, tiwikerama, mencerakinkan, dengan penuh hebat ketimbang pentadbiran sebelum ini.

"Sepatutnya dialah bantu penguat kuasa melaksanakan udang-undang, ini dia pula ajak orang untuk bantah penguatkuasaan PBT, sepatutnya ahli parlimen kena faham undang-undang.

"Ini dibuat dalam keadaan pilihan raya PBT belum dilaksanakan.

"Bayangkan kalau pilihan raya PBT dilaksanakan suatu hari nanti dan bandar-bandar dikuasai oleh orang-orang yang pemikiran macam ini.

"Tak tahulah apa akan jadi nanti," katanya.

Tambah Afnan Hamimi, isu tersebut tidak sepatutnya menjadi kontroversi dan tidak perlu disentuh. Malah dakwanya negara-negara lain turut menggunakan papan tanda dalam bahasa masing-masing.

"Banyak lagi perkara yang lebih besar seperti isu ekonomi, dan beras putih tempatan yang patut diketengahkan pemimpin kerajaan untuk diselesaikan.

"Tak payahlah fikir hal-hal remeh macam papan tanda ini, biarlah PBT buat tugas dia. Jangan kita ganggu gugat tugas PBT," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS