Bekas perdana menteri, Najib Razak, hari ini gagal mendapatkan penangguhan kekal atas enam pertuduhan pecah amanah (CBT) membabitkan RM6.6 bilion.
Sebelum itu pasukan pembelaan Najib mengemukakan permohonan tersebut atas alasan pihak pendakwaan gagal menyerahkan beberapa dokumen sulit terkait Akta Rahsia Rasmi (OSA) kepada mereka.
Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Muhammad Jamil Hussin, berkata keputusan penangguhan kekal hanya terpakai dalam kes di mahkamah sivil dan bukannya mahkamah jenayah.
Jamil kemudian menangguhkan prosiding hari ini buat sementara waktu bagi membolehkan pihak pendakwaan dan pembelaan menyediakan hujahan lanjut sama ada mahkamah boleh mengeluarkan perintah melepas tanpa membekaskan (DNAA) Najib serta bekas ketua setiausaha perbendaharaan, Mohd Irwan Serigar Abdullah.
Hakim terbabit berkata Kanun Prosedur Jenayah memperuntukkan secara jelas bahawa hanya mahkamah jenayah boleh membenarkan DNAA apabila pendakwa memohon secara jelas untuknya.
Awal hari ini - susulan permohonan DNAA oleh peguam Irwan, K Kumaraendran - timbalan pendakwa raya Muhammad Saifuddin Hashim Musaimi berkata pihaknya menyerahkan kepada mahkamah sama ada akan mengeluarkan perintah sedemikian atau tidak.
Ketua pasukan pembelaan Najib, Muhammad Shafee Abdullah bersama Kumaraendran masing-masing memohon penangguhan kekal dan DNAA kerana kes itu 'mengikat' Najib dan Irwan sejak 2018.
Dokumen sulit yang diingini pasukan pembelaan itu ialah maklumat dari beberapa kementerian, termasuk Kementerian Ekonomi; Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam Sekitar, dan Kementerian Pengangkutan.
Perbicaraan kes berkenaan pada awalnya dijadualkan bermula pada Jun lalu namun tertunda tiga kali sejak itu berikutan pihak pendakwa masih belum dapat dapat dokumen yang didedahkan daripada kementerian.
Mengikut OSA, penyahklasifikasian sesuatu dokumen mesti dilakukan oleh kementerian, justeru pihak pendakwaan perlu menunggu pihak terbabit melakukannya terlebih dulu sebelum ia dapat bertukar tangan.
Najib dan Irwan didakwa terkait pembayaran RM6,636,065,000 dana kerajaan kepada Syarikat Pelaburan Petroleum Antarabangsa (IPIC).
Pada 25 Okt 2018, di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur Najib dan Irwan mengaku tidak bersalah terhadap enam pertuduhan CBT. Kes tersebut kemudian dipindahkan ke mahkamah tinggi.