Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Siasatan kes Faisal Halim diambil alih Bukit Aman
Diterbitkan:  Nov 25, 2024 12:08 PM
Dikemaskini: 4:08 AM

DUN SELANGOR | Siasatan kes jenayah membabitkan pemain Selangor FC, Faisal Abdul Halim, kini diambil alih Unit Siasatan Jenayah Terkelas di Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman.

Timbalan Speaker Kamri Kamaruddin memaklumkan Pejabat DUN Selangor telah menerima maklum balas daripada Ketua Polis Selangor, Hussein Omar Khan, berhubung usul 17 (1) Peraturan-Peraturan Tetap DUN Selangor yang dibawa oleh Abbas Salimmi Che Adzmi (PH-Seri Serdang).

“Maklum balas itu menyatakan Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengambil serius terhadap penyiasatan kes ini dan kes telah diambil alih oleh pasukan khas daripada Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman.

“Pasukan ini mempunyai kepakaran dan peralatan bantuan yang lebih baik bagi mengenal pasti dan menangkap suspek yang terlibat,” katanya sebelum memulakan sesi pertanyaan pada persidangan hari ini.

Pada 22 Nov lalu Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan Selangor, Mohd Najwan Halimi, memaklumkan kerajaan negeri masih belum menerima apa-apa maklum balas daripada pihak polis berhubung perkembangan siasatan kes membabitkan pemain Selangor FC itu.

Mohd Najwan berkata kerajana negeri masih menunggu maklumat berkenaan untuk didedahkan susulan usul tergempar mengecam perbuatan ekstrem dan keganasan yang mengancam nyawa serta karier atlet terutamanya bola sepak, diluluskan sebulat suara pada persidangan lepas.

Usul dikemukakan Abbas Salimmi sebelum sesi perbahasan Kajian Separuh Penggal RS-1 (KSP RS-1) pada 5 Julai itu antara lain mendesak siasatan menyeluruh terhadap kes simbah asid melibatkan pemain kebangsaan dan Faisal. Ia kemudian dibahaskan oleh lima Adun.

Pada 5 Mei lepas, Penjaring Gol Terbaik Piala Asia 2023 berusia 26 tahun itu menjadi mangsa simbahan asid di sebuah pusat beli-belah di Kota Damansara.

Insiden itu menyebabkan Faisal mengalami kelecuran tahap empat pada beberapa bahagian anggota badan.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS