PARLIMEN | Putrajaya sedang berusaha membuat pindaan undang-undang yang akan memaksa penyedia platform media sosial mendedahkan data pengguna atas permintaan polis.
Demikian menurut Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching (Pakatan Harapan-Kulai) semasa sesi soal jawab lisan Dewan Rakyat pagi ini.
Teo berkata kementerian bercadang untuk membentangkan rang undang-undang untuk meminda Akta Komunikasi dan Multimedia, atau Akta 588, pada Disember yang akan memasukkan cadangan untuk menambah seksyen baru bagi tujuan itu.
“Di bawah pindaan Akta 588, salah satu kuasa yang kami cadangkan adalah kita nak perkenalkan satu seksyen baru untuk mengukuhkan kuasa penguatkuasaan sedia ada.
"Untuk benarkan pegawai polis atau pegawai diberi kuasa untuk kehendaki mana-mana orang mengawal sistem komunikasi untuk menzahirkan data tersebut melalui kaedah yang dinyatakan.
"Jadi kita percaya bahawa dengan seksyen tersebut, kalau diluluskan Dewan rakyat, kita berkuasa, PDRM berkuasa untuk minta penyedia platform itu untuk menzahirkan data-data pengguna akaun tersebut.
"Harap dari sana boleh permudahkan lagi siasatan oleh pihak PDRM," katanya.
Teo berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Afnan Hamimi Taib Azamudden (PN-Alor Setar) tentang bagaimana kerajaan bercadang mengawal penyebaran berita palsu oleh mereka yang menggunakan akaun media sosial palsu.
Menurut Afnan, kegiatan tidak bertanggungjawab itu seolah-olah di luar kawalan kerana pihak berkuasa biasanya tidak dapat mengesan identiti sebenar mereka yang bertanggungjawab.
Sehubungan itu, timbalan menteri itu mengakui bahawa kerajaan mendapati agak sukar memerangi berita palsu.
Tambah Teo, inilah sebabnya mengapa platform media sosial perlu lebih ketat semasa mendaftarkan pengguna baru.
"Kami memahami bahawa terdapat cabaran dalam mengenal pasti mereka yang berada di sebalik akaun palsu ini. Inilah sebabnya mengapa penting bagi untuk membuat penyedia platform seperti Meta, Bytedance dan Google mengetatkan peraturan mereka apabila melibatkan pendaftaran pengguna baru.
"Seperti mewajibkan pengguna untuk memberikan nombor telefon mereka semasa mendaftar akaun. Jika tiada usaha sedemikian, maka amat sukar bagi kami untuk mengesan mereka di sebalik akaun palsu," kata Teo.