Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Syarikat pembuat jam tangan Switzerland berjaya mendapatkan semula jam tangan koleksi Pride yang dirampas pihak berkuasa Malaysia dalam serbuan tahun lepas.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini membenarkan semakan kehakiman Swatch Group (Malaysia) Sdn Bhd untuk mengembalikan jam tangan dalam pelbagai warna pelangi - yang menjadi simbol komuniti LGBT.

Hakim Amarjeet Singh mengarahkan Kementerian Dalam Negeri (KDN) memulangkan jam tangan itu dalam tempoh 14 hari dari hari ini.

Hakim mahkamah sivil memutuskan rampasan itu adalah haram kerana ia dilakukan sebelum larangan ke atas barang itu diwartakan.

Amarjeet berkata walaupun mahkamah sekarang tidak akan membuat sebarang perintah untuk ganti rugi, syarikat itu bebas memfailkan permohonan berasingan untuk ganti rugi.

Dia berkata, ini kerana setiap kali pihak berkuasa melakukan serbuan dan rampasan, barang yang dirampas cenderung mengalami kerosakan.

KDN merampas jam tangan itu dalam serbuan di seluruh negara antara 13 dan 15 Mei tahun lepas.

Kemudian pada 10 Ogos tahun lepas, kerajaan mewartakan pengharaman mana-mana jam tangan Swatch atau bahan berkaitan - termasuk kotak - yang mengandungi pengaruh LGBT, di bawah Seksyen 7 Akta Mesin Cetak dan Penerbitan (PPPA) 1984.

Dalam afidavitnya, pengurus Swatch Malaysia, Martin Issing menegaskan bahawa sebelum serbuan, jam tangan itu dijual secara terbuka di Malaysia tanpa sebarang kejadian.

Menerusi cabaran yang difailkan pada Jun tahun lepas, Swatch menuntut beberapa relief, antaranya:

Perintah certiorari untuk membatalkan notis rampasan untuk serbuan.

Perintah mandamus untuk memaksa kementerian memulangkan 172 jam tangan dalam tempoh lima hari dari tarikh arahan.

Ganti rugi kerosakan yang termasuk yang bersifat teladan dan teruk

Dalam kenyataan akhbar tahun lepas, kementerian menyatakan Seksyen 8(2) PPPA membawa hukuman kerana menjual, mengedar, atau memiliki jam tangan yang diharamkan itu, termasuk penjara sehingga tiga tahun, denda sehingga RM20,000, atau kedua-duanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS