Kemasukan pelajar ke Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) adalah berdasarkan merit, terutama melibatkan kursus yang mendapat permintaan tinggi, kata Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.
Beliau berkata kegagalan mendapat tempat di universiti awam tidak sepatutnya menjadi isu perkauman ataupun diskriminasi terhadap mana-mana golongan.
"Kita tidak ada diskriminasi dari segi kemasukan pelajar-pelajar (ke IPTA). Itu asasnya, sekiranya pelajar yang berkenaan memperoleh semua A dalam (mata) pelajarannya, mereka akan diberikan tempat.
"Perkara yang sering dibahaskan ialah mereka memerlukan pilihan pertama, biasanya melibatkan kursus kritikal, iaitu perubatan, farmasi dan pergigian," kata Zambry yang juga Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) pada sidang media selepas merasmikan penutupan Konvensyen BN Negeri Perak di Ipoh hari ini.
Beliau berkata ketiga-tiga kursus itu adalah antara jurusan yang dimohon oleh ramai pelajar, sedangkan penempatan bagi bidang berkenaan agak terhad.
"Ada yang minta supaya mereka diberikan kuota, bilangan tersendiri. Bagi kita, kemasukan dalam bidang-bidang (kritikal) seperti ini adalah berdasarkan kepada merit mereka. Tiada alasan bahawa ia diberi kepada kaum (tertentu) dan sebagainya," katanya.
Terdahulu, Pengerusi MIC Perak Tan Sri M. Ramasamy ketika berucap pada konvensyen hari ini berkata antara isu yang banyak diterima pihaknya ialah tidak ramai pelajar India yang cemerlang dapat memasuki IPTA selain masalah sama turut berlaku bagi lepasan matrikulasi yang perlu ditingkatkan lagi kuota.
Sementara itu, Zambry berkata isu yang dibangkitkan oleh Ramasamy itu bukan sahaja melibatkan masyarakat India kerana perkara sama turut berlaku kepada kaum lain.
- Bernama