Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
BN sasar 5 kerusi WP, jamin tiada pertindihan dengan PH - Zahid
Diterbitkan:  Nov 24, 2024 10:17 PM
Dikemaskini: 2:17 PM

BN mensasarkan untuk bertanding lima kerusi Parlimen di Wilayah Persekutuan pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) bagi mewakili Kerajaan Perpaduan.

Berita Harian melaporkan Pengerusi BN, Ahmad Zahid Hamidi berkata pihaknya akan membincangkan perkara itu dengan rakan parti dalam kerajaan.

"Apa yang penting kini, Wilayah Persekutuan mesti diputihkan dan saya mengharapkan bukan sekadar tiga kerusi di wilayah termasuk kawasan Datuk Jo (Datuk Seri Johari Abdul Ghani, Parlimen Titiwangsa), tetapi juga kita putihkan Putrajaya dan Labuan.

"Insyaallah kita berunding baik-baik. Kita akan dapat lima kerusi. Kita buktikan dengan cara baik sebagaimana Pilihan Raya Kecil (PRK) Nenggiri dan Mahkota.

Wikayah Persekutuan ketika ini mempunyai 13 kerusi Parlimen. Pada pilihan raya umum lalu, PH menang 10 kerusi, BN pula menang satu kerusi di Titiwangsa manakala PN memperoleh kerusi parlimen Labuan dan Putrajaya.

Ini bermakna BN perlu berunding untuk mendapatkan dua lagi kerusi di Wilayah Persekutuan daripada PH.

Jamin tiada pertidihan kerusi dengan PH

Sementara itu, Ahmad Zahid juga dilaporkan memberi jaminan tidak akan berlaku pertindihan kerusi bersama parti komponen PH dalam berdepan PRU-16.

Katanya, sejak menjalinkan kerjasama dengan PH dua tahun lalu, kedua-dua gabungan itu perlu saling membantu satu sama lain dan bekerjasama demi memastikan kestabilan negara.

"Dalam politik, tiada kawan yang kekal atau musuh yang kekal. Apa yang kita ada adalah kepentingan yang kekal.

"Tetapi bagi saya, dalam situasi ini, ia bukan soal kepentingan individu, bukan hanya kepentingan BN, bukan sahaja kepentingan PH, tetapi kita harus menjaga kepentingan Kerajaan Perpaduan yang telah kita tubuhkan bersama di Perak dan seluruh negara," katanya.

Tambahnya, dalam pilihan raya akan datang, BN termasuk UMNO, MCA dan MIC akan merampas semula kerusi yang mereka hilang sebelum ini, justeru penting bagi semua parti komponen BN dan PH untuk saling membantu.

"Kita mesti membantu satu sama lain. Jangan risau, tidak akan timbul isu pertindihan kerusi. Biar saya berbincang dengan 'abang tua' dari PKR, selaku ketua utama kami (Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim).


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS