Ketua Pemuda Umno hari ini membidas Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya yang mengatakan ada pelancong bertanya apakah Malaysia merupakan sebuah negara perkauman berikutan serbuan terhadap premis perniagaan yang memasang papan tanda berbahasa Cina di ibu negara.
Sebaliknya Akmal Saleh berkata individu yang bersikap perkauman ialah mereka yang telah lama menetap di Malaysia tetapi pura-pura tidak tahu mengenai undang-undang dan sensitiviti rakyat di negara ini.
"Yang menjadi perkauman ni adalah orang yang dah lama duduk dalam Malaysia tetapi masih buat-buat tidak faham undang-undang dan sensitiviti rakyat di negara ini wahai YB menteri," katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Terdahulu, Tiong King Sing hari ini berkata dia menerima pertanyaan daripada pelancong asing yang bertanya apakah Malaysia sebuah negara bersifat perkauman atau ekstrem agama, berikutan serbuan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) ke atas beberapa premis di ibu negara sebelum ini.
Serbuan itu merupakan operasi berskala besar terhadap premis-premis yang tidak memasang papan tanda bahasa kebangsaan.
“Berbanding menampakkan imej autoritarian dan terkebelakang, DBKL seharusnya menjiwai semangat ketamadunan dan keterbukaan ibu kota.
"Multikulturalisme bukanlah kelemahan, tetapi kelebihan dalam daya saing,” kata Tiong dalam kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, Akmal membandingkan negara lain di mana bahasa kebangsaan negara masing-masing dipaparkan pada papan tanda.
"Kalau pergi ke negara luar, mereka akan letak bahasa mereka menjadi keutamaan di papan tanda dan barulah ada tambahan bahasa lain, kalau perkara mudah sekalipun tidak boleh faham macam mana nak fahamkan orang lain," katanya.
Jumaat lalu, Ahli Parlimen Bukit Bintang, Fong Kui Lun meminta DBKL menghentikan tindakan terhadap pemilik perniagaan yang mempamerkan papan tanda berbahasa Cina.
Dia menyifatkan tindakan itu terlalu tergesa-gesa dan tidak sesuai, terutama di bandar berbilang budaya dan antarabangsa seperti Kuala Lumpur.
Menurutnya penguatkuasaan yang berlebihan terhadap dasar itu bukan sahaja mengganggu perniagaan tetapi juga boleh memberi kesan negatif kepada ekonomi bandar, khususnya sektor pelancongan.